| Pendahuluan
RUANGAN ini memuatkan himpunan pengenalan kepada karya-karya klasik yang telah diringkaskan dan akan diterbitkan dalam bentuk buku. Ia bertujuan untuk meuar-uarkan kepada khalayak akan betapa kayanya alam Melayu dengan pelbagai karya persuratan Melayu. Melalui laman web ini, khalayak sastera terutamanya generasi muda akan diperkenalkan dengan karya-karya klasik dari Malaysia, Indonesia dan Brunei yang berbentuk prosa termasuklah syair. Hasil karya dalam siri ini sebahagiannya telah diterbitkan dan berada di pasaran dan sebahagiannya masih dalam proses penerbitan. Semoga usaha yang murni ini menjadi panduan untuk para khalayak supaya tidak terlepas untuk mengikuti/membaca hasil karya tradisional hasil nukilan pujangga Melayu silam. Intipatinya sarat dengan ilmu pengetahuan dan menjadi buah fikir bagi generasi kini dalam memantapkan jati diri dan menimba ilmu pengetahuan sebanyak mungkin. Karya Melayu tradisional juga menjadi panduan dalam menelurkan masyarakat yang bertamadun dan berakhlak tinggi lagi budiman. Golongan remaja khususnya harus diperkenalkan dengan bahan-bahan bacaan yang agung seperti ini kerana ia membina jati diri bangsa. Oleh itu, diharapkan supaya pengenalan karya secara ringkas ini, dapat menarik minat, memberi gambaran awal dan menjadi kemudahan kepada pembaca dalam mengenali dan memiliki karya persuratan agung di Alam Melayu.
Petikan setiap karya yang dimuatkan di dalam laman web ini merupakan kutipan atau rumusan pada bahagian pendahuluan sahaja daripada Projek Intisari Karya Klasik yang dilaksanakan oleh Bahagian Kesusasteraan Tradisional, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Intisari Karya Klasik bermakna meringkaskan karya klasik menjadi sinopsis cerita dengan menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami supaya cerita tersebut dapat dihayati dengan cara yang mudah dan menarik. Buku intisari lengkap yang akan diterbitkan nanti bertujuan untuk menyediakan korpus bahan bacaan sastera yang baik dan bermutu untuk menarik perhatian dan memudahkan penghayatan di kalangan peneliti sastera khususnya para pelajar. Secara tidak langsung ia dapat menyemai semangat cintakan sastera dan budaya serta khazanah warisan bangsa yang menyediakan nilai-nilai murni dan moral yang baik. Karya-karya tersebut merangkumi pelbagai golongan cerita seperti sastera hikayat, sastera panji, sastera epik, cerita para nabi, dan tokoh-tokoh Islam dan karya prosa berbentuk syair meliputi negara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.
Dengan terbitnya siri buku Intisari Karya Klasik, ia dijangka akan memenuhi selera pembaca terutamanya para pelajar yang cenderung kepada bahan bacaan yang mudah difahami. Diharapkan agar para khalayak sastera/pembaca tidak melepaskan peluang untuk memiliki setiap buku Intisari Karya Klasik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pelbagai judul karya Melayu klasik yang dipaparkan dalam laman ini adalah sebahagian daripada Projek Intisari Karya Klasik. Penambahan pengenalan kepada karya-karya Melayu klasik yang lain akan dibuat dari semasa ke semasa.
|