Melayu  |  English 

  Selamat Datang Pelawat  

  Jumaat, 3 September 2010  

  PRPM(Istilah, Kamus, Ensiklopedia dll.)

  Piagam Pelanggan

Piagam Pelanggan

Prestasi

  Aplikasi Dalam Talian

Khidmat Nasihat Dalam Talian

Pusat Rujukan Persuratan Melayu

Ensiklopedia  

Istilah 

Bahasa Sukuan 

Kamus

Korpus Bahasa Melayu

Semakan Manuskrip Mengikut Carian Judul

Katalog Awam Dalam Talian

Carian Buku/Majalah

Pustaka Digital

  Perkhidmatan
  Maklumat Umum

Borang-borang

Soalan Lazim

Telefon/Faks

Lokasi DBP

  Warga DBP Sahaja

Intranet

Web Mel

  Hiper Rangkai

Pusat Dokumentasi Melayu

Munsyi Dewan

Dawama

Puspanita DBP

Koperasi DBP

Persatuan Penterjemah Malaysia

Institut Terjemahan Malaysia

Produk Multimedia DBP

  Surat Berita

Jika anda ingin menerima surat berita kami, sila taip e-mel anda di bawah.

Batal Langganan

AMIL JAYA

(Ismail bin Abbas)

LAHIR : 5 November 1939, di Kampung Pirasan, Kota Belud, Sabah.
ALAMAT : Kampung Ketiau, Putatan, Penampang, Sabah.

DALAM perkembangan sastera Sabah, nama Amil Jaya sering disentuh oleh peneliti sastera tanah air sebagai penulis yang dapat bertahan dan menulis secara berterusan.  Amil Jaya membentuk namanya sebagai penulis melalui bakat, keinginan dan cita-cita kepengarangannya yang dipupuk sejak di sekolah rendah.  Bakat, keinginan dan cita-cita itu disuburkan oleh keresahan serta desakan berfikir yang menggelodak dalam dirinya.  Pengalaman sewaktu penjajahan Inggeris, peningkatan kosa kata bahasa Melayunya serta pengamatan dan penghayatannya kepada aspek sosio-politik-ekonomi dan budaya, mendorongnya  menulis dan memaparkan perkara-perkara yang positif kepada masyarakat.

Amil Jaya memulakan persekolahannya pada tahun 1952 dan menamatkannya pada tahun 1954 di Sekolah Rendah Kerajaan Tenghilan, Sabah.  Keputusan peperiksaannya agak cemerlang dan dalam masa setahun beliau naik darjah sebanyak dua kali.  Lantaran keluarga yang kurang berada, Amil Jaya tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Inggeris yang kebanyakannya diasaskan oleh mubaligh Kristian.  Sekatan yang ketat dikenakan kepada bumiputera Sabah oleh penjajah turut membantutkan peningkatan akademik Amil Jaya.

Kemudian pada tahun 1962, Amil Jaya bertugas sebagai guru pelatih di Sekolah Sukarela Rakyat di sebuah kampung terpencil, iaitu Kampung Wangkod, Tenghilan.  Selain menjadi guru pelatih, sekali gus beliau menjadi guru besar kerana beliau  satu-satunya guru di sekolah tersebut dan menjadi tenaga pengajar kepada enam buah kelas, iaitu dari darjah satu hingga darjah enam.

Semasa menjadi guru di sekolah ini, Amil Jaya berusaha meningkatkan kelulusan akademiknya.  Pada setiap hari Sabtu, beliau bergegas dari rumah ke jalan raya terdekat.  Perjalanannya bermula pada jam 4.00 pagi kerana mengejar satu-satunya bas dari Tenghilan ke Tamparuli, untuk menghadiri kelas bahasa Inggeris di Tamparuli khusus untuk guru-guru.  Kelas bahasa Inggeris ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Sabah.  Amil Jaya terpaksa berjalan meredah hutan selama tiga jam pada awal subuh dari rumahnya menuju ke jalan raya di Tenghilan.  Namun kerana ingin meningkatkan ilmu, Amil Jaya tabah dan rela menempuhnya selama dua tahun sehingga lulus cemerlang ke tahap sijil Teaching English as a Foreign Language (TEFL).

Pada bulan Ogos 1964, Amil Jaya dihantar berkursus di Pusat Latihan Guru-guru Bumiputera Sabah, di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.  Kemudian pada bulan Februari 1965, Amil Jaya dihantar kembali mengajar di sekolah asalnya di Kampung Wangkod.  Selepas itu, beliau ditukar mengajar di Sekolah Rendah Kerajaan Selupoh, Tuaran.

Semasa mengajar di Sekolah Rendah Kerajaan Selupoh, Amil Jaya menyertai kelas lanjutan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di Maktab Perguruan Kent, Tuaran.  Kelas itu ditubuhkan oleh Pengetua Maktab tersebut, Anas Haji Ahmad, dalam usahanya  meningkatkan kelulusan akademik guru-guru Sabah.  Kelas SRP itu adalah yang pertama diadakan di Sabah dan khusus untuk guru-guru di daerah Tuaran sahaja.  Pelajarnya terdiri daripada guru-guru yang hanya berkelulusan darjah lima dan enam.

Pada tahun 1969, Amil Jaya mengikuti Kursus Lanjutan Perguruan dan Peningkatan Akademik di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur.  Pada tahun 1970 pula, beliau berpindah ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, mengikuti kursus yang sama.

Pada tahun 1970 itu juga, Amil Jaya lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seterusnya Sijil Tinggi Persekolahan (STP) pada tahun 1972.  Pada tahun 1976, beliau diterima sebagai Mahasiswa Luar Kampus di Universiti Sains Malaysia dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1982.  Sebelum itu, pada Januari 1971 (sesudah menamatkan kursus di Maktab Perguruan Bahasa dan Maktab Perguruan Sultan Idris), Amil Jaya dilantik sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Setelah berkhidmat di Maktab Perguruan Gaya selama empat tahun, Amil Jaya telah dipinjamkan oleh Jabatan Pendidikan Sabah untuk berkhidmat dengan Biro Kesusasteraan Borneo Cawangan Sabah pada tahun 1974.  Beliau dilantik sebagai Editorial Officer, dan juga Officer Incharge bagi cawangan biro tersebut di Kota Kinabalu.

Tiga tahun kemudian, iaitu pada bulan Januari 1977, Biro Kesusasteraan Borneo telah bergabung dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Semua pegawai dan kakitangan Biro diserapkan untuk meneruskan perkhidmatan mereka di DBP, termasuklah Amil Jaya yang telah dilantik sebagai Pegawai Penyelidik.  Sejak tahun 1991 beliau memegang jawatan Pengarah DBP Cawangan Sabah hinggalah bersara pada tahun 1994.

Amil Jaya adalah antara tokoh yang sama-sama menyemarakkan peranan Badan Bahasa Sabah (BAHASA).  Bermula sebagai anggota biasa pada tahun 1972, beliau telah dipilih menganggotai Ahli Jawatankuasa Tertinggi badan tersebut hingga tahun 1989.  Pada tahun yang sama itu juga beliau terpilih sebagai Yang Dipertua BAHASA.

Semasa gerakan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Sabah, Amil Jaya turut terlibat dan bersama-sama Jamdin Buyong (Jamdin B),  Datu Haji Dzulkifli Abdul Hamid dan seluruh ahli BAHASA mendesak melalui satu seminar supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Sabah.  Hasrat itu tercapai apabila bahasa Melayu diumumkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Sabah pada 31 Ogos 1973 oleh Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun dalam upacara yang gilang-gemilang sempena perayaan 10 tahun Sabah di dalam Gagasan Malaysia.

Sebagai penulis pula, Amil Jaya telah menghasilkan tiga buah novel.  Novel-novelnya mengemukakan persoalan-persoalan yang berkisar tentang konflik masyarakat peribumi Sabah yang bertolak daripada permusuhan tradisional yang berhubung antara etnik-etnik Kayan, Melanau, Kelabit di Sarawak dalam novel Ngayau; konflik etnik Bajau dan Dusun dalam Bagaton; dan konflik ras Kadazan dan Bajau dalam novel Cerah.

Tiga buah novel remajanya, iaitu Yanti Anak Laut, Herwan Anak Kembara dan Periuk Kera Raksasa mengetengahkan unsur-unsur kembara, lasak dan keberanian di kalangan anak-anak remaja.  Menurut Amil Jaya, perasaan ingin tahu remaja harus dieksploitasi supaya timbul rasa berani, keinginan mencuba, dan perasaan ingin tahu mereka harus dipenuhi dan dipertingkatkan serta sifat-sifat lasak perlu diwujudkan melalui bahan bacaan.  Watak-watak wira pujaan mereka harus diwujud dan diresapkan ke dalam imaginasi dan daya khayal mereka.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia kesusasteraan, Amil Jaya tidak banyak menulis cerpen.  Setakat ini, cuma 30 buah cerpen yang telah diterbitkan di pelbagai akhbar dan majalah.  Persoalan-persoalan yang digarapkannya  berkisar kepada persoalan cinta dan kasih sayang, dan politik.  Kebanyakan persoalan yang digarapkannya itu adalah refleksi daripada pengalaman dan pengamatannya tentang peristiwa-peristiwa semasa.  Kekuatan Amil Jaya terletak pada penghayatannya tentang hakiki kehidupan seperti yang terpancar pada cerpen "Nor Hayati", "Pak Sakar", "Pusaka Yang Hilang", "Lintah" dan "Tuntutan Kasih".

Sepanjang hidupnya, Amil Jaya tidak pernah renggang daripada kegiatan kesusasteraan.  Beliau sering menyertai seminar, simposium, dialog, bengkel dan ceramah sastera di peringkat, nasional dan antarabangsa.  Malahan sebahagian besar daripada hidupnya didedikasikan kepada kecemerlangan dan kesuburan sastera Melayu, sama ada sebagai penulis sastera kreatif, editor, pemberita, pengkritik mahupun pengurus ataupun sebagai pemikir dan aktivis sastera.

Atas sumbangannya dalam pembinaan dan pengembangan kesusasteraan Melayu di Sabah khasnya dan di Malaysia amnya, Amil Jaya telah menerima Penghargaan Penulis pada tahun 1987 oleh DBP Cawangan Sabah yang diberi oleh kerajaan negeri pada tahun 1990.  Berdasarkan kecemerlangan menyemarakkan dunia kesusasteraan Melayu, Amil Jaya dipilih sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) di Bangkok pada tahun 1992.

KARYA
Novel
- Cerah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976
- Ngayau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979
- Bagaton. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987
Novel Remaja
- Herwan Anak Kembara.  Kuala Lumpur:  Dewan  Bahasa dan Pustaka, 1982
- Yanti Si Anak Laut.  Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986
- Periuk Kera Raksasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992.
RUJUKAN
- Oman Yaakob.  "Cerah: Konflik Anak Muda Terhadap Tradisi, Sabah" dlm. Mingguan Malaysia, Februari 1977
- Herman Noor Ayub. "Ngayau, Ilhamnya dari Sejarah, Mengharukan dan Mencemaskan" dlm. Berita Harian, 19 Mei 1981
- Ismaily Bongsu. "Lintah" dlm.  Sabah Times, 12 Mac 1984
- Latimen Ahmad. "Ekoran Ulasan Cerpen `Lintah' dlm. Sabah Times, 6 April 1984
- Roslinah Suhailin, 1987. "Novel Cerah: Pengarang dan Watak" dlm. Tesis Sarjana Muda Sastera, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya
- Herman Noor Ayub. “Bagaton Novel Terbaik Amil Jaya” dlm. Berita Minggu, 11 Oktober 1987
- Darwis Harahap. "Bagaimana Amil Jaya menulis Ngayau" dlm. Berita Harian, 5 November 1987
- Hussain Kasau. "Amil Jaya Penulis Paling Berjaya di Sabah" dlm. Berita Minggu, 3 Februari 1990
- Melan Bujang. "HAK: Mengajar Herwan Tentang Hutan" dlm. Sabah Times, 12 Ogos 1990
-

Widji Utama Radjikin. "Wawancara: Ismail Abbas Tokoh Sastera yang  Berjasa" dlm. Borneo Mail, 18 Januari 1991

Pautan

- Negaraku: Rustam yang pergi dan Amil Jaya 

- Siri novel Malaysia

- Amil jaya sasterawan besar yang tidak dilupakan sejarah

- latar belakang

 

 
Dikemaskini pada 20 Jan 2009
 
Cetak versi format pencetak untuk halaman ini  Cetak halaman ini  E-Mel halaman ini kepada kawan  E-mel halaman Ini
  Carian Laman


Dewan Bahasa dan Pustaka,
Menara DBP,
Jalan Dewan Bahasa,
50460 Kuala Lumpur, MALAYSIA

Tel: 03-2148 1011

Ikuti
Bulan Bahasa Kebangsaan
di Facebook


WAKTU PERKHIDMATAN

Isnin - Khamis

8:30 pg - 4:30 ptg

Jumaat

8:30 pg - 12:00 tgh

2:45 ptg - 4:30 ptg

 Majalah DBP
  Jumlah Capaian Sejak Jun 2004

  7801509780150978015097801509780150978015097801509 

  Muat Turun Aplikasi

               

Dasar Privasi  |   Dasar Keselamatan  | Notis | Hakcipta  | Pasukan Web| Soalan Lazim

               

Dewan Bahasa dan Pustaka, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, MALAYSIA.
(Talian Umum)--Telefon: 03-21481011 ,
21443300,21443030, 21444433,21444477, 21444800, 21446600,21447071, 21447744
Faks: 03-21447248 (Am), 03-21445727 (Bahasa), 03-21414109 (Sastera)
Untuk sebarang pertanyaan umum sila ke
Khidmat Nasihat DBP.
Paparan terbaik Internet Explorer 5.0 ke atas, resolusi 1024 x 768 pixel.