Hubungi Kami | Maklum Balas| Soalan Lazim | Peta Laman | Bantuan | Mobil web | Intranet                                        Reset Latar Belakang Tukar Latar Belakang Tukar Latar Belakang Tukar Latar Belakang Font Kecil Font Pertengahan Font Besar Font Hitam Font Merah Font Biru Font Hijau Font Kuning Capaian Kurang Upaya (OKU) / Disability Access

Menjadi Peneraju Utama Pengembangan Bahasa dan Persuratan Melayu dalam Pembinaan Negara Bangsa                       | Melayu | English

  Selamat Datang Pelawat  

  Jumaat, 31hb Oktober 2014  

A. SAMAD SAID

(Abdul Samad bin Muhammad Said, Datuk, Pejuang Sastera, Sasterawan Negara, Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra, Shamsir)

LAHIR : 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.
ALAMAT : 10, Jalan 15/5C, Subang Jaya, 47500 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

A. SAMAD SAID, seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri dalam perkembangan penulisannya yang dimulai dengan puisi dan cerpen, kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera.  Sejak giat mengarang dalam tahun 1950, beliau telah memperlihatkan kekuatan daya kreatif yang sentiasa berkembang dan lebih bersifat meneroka.  Sumbangan A.  Samad Said kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup menyerlah kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan kesusasteraan Melayu yang menyambungkan ASAS 50 dengan angkatan sesudahnya.

         

Semasa  berumur enam bulan, Samad dibawa oleh keluarganya ke Singapura dan beliau mendapat pendidikan asas dan menengahnya di sana.  A. Samad Said belajar di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940 – 1946) sebelum meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution.  Dari situ, beliau belajar sendiri hingga memperoleh sijil Senior Cambridge (1956).

         

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Samad sudah mulai berkenalan dengan kesusasteraan di dalam dan luar negeri.  Malah, pengarang-pengarang penting di Singapura pun seperti Asraf, Usman Awang, dan Han Suyin telah diketemuinya.  Sajak dan cerpennya mula tersiar sewaktu beliau masih di bangku sekolah.  Sebelum terbitnya novel Salina yang mengharumkan namanya, Samad membaca karya-karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala.  Beliau juga membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayer’s Folly.  Beliau menggunting cerpen-cerpen daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya.  Kegiatan menterjemah beberapa karya sastera asing juga secara tidak langsung memperkuat minatnya terhadap kesusasteraan.  Segalanya ini membulatkan tekad dan fikirannya untuk berkecimpung dalam bidang penulisan, dan hasilnya, Samad berupaya menghasilkan pelbagai genre: sajak, novel, drama, esei/kritikan dan terjemahan.  Kecenderungannya terhadap dunia sastera telah berakar dan berkembang dalam dirinya sejak kecil lagi apabila beliau selalu mendengar cerita-cerita daripada ibunya.  Daripada pengakuannya yang merendah diri, Samad berkata : “... kalaulah saya diterima sebagai penulis – saya lahir daripada “Batu Belah batu Bertangkup”.  Saya masih tetap mendengar cerita ini walaupun orang yang menceritakannya ketika memandikan saya, menyuapkan makan saya dan menidurkan saya sudah tidak ada lagi.”

 

Pekerjaan pertama Samad Said ialah sebagai kerani di Hospital Umum Singapura.  Beliau berasa beruntung bekerja di hospital itu kerana amat sukar baginya mendapat kerja di mana-mana pun pada waktu itu.  Tetapi, di hospital itu, beliau tidak lama bekerja dan hanya dapat bertahan selama enam bulan saja.  Samad kemudian berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat  di bawah pimpinan Ahmad Boestamam.  Selepas enam bulan di Kuala Lumpur, beliau kembali semula ke Singapura dan bekerja dengan akhbar mingguan Utusan Zaman  di bawah Usman Awang.  Apabila Syarikat Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur dan Usman Awang, Said Zahari, Pengarang Utusan Melayu  waktu itu berpindah sama, Samad Said juga turut berhijrah.  A. Samad Ismail, Pengarang Berita Harian ketika itu, telah memujuk Samad Said agar menyertai Berita Harian.  Di sekitar tahun 1960-an Samad sekali lagi bertukar kerja.  Apabila A. Samad Ismail diberikan tugas lebih besar dalam surat khabar The New Straits Times,  Samad Said pula dilantik menjadi Pengarang Berita Harian.  Semasa A. Samad Ismail berada dalam tahanan, beliau telah dilantik menjadi penolong khas kepada Pengarang Kumpulan The New Straits Times di samping menjalankan tugasnya sebagai Pengarang Berita Harian.  Tetapi Samad menyedari bahawa minatnya dalam bidang penulisan dan tanggungjawab yang besar yang diamanahkan kepadanya boleh merugikan, bukan sahaja bakat dan kreativitinya, tetapi dunia kesusasteraan umumnya.  Justeru, Samad Said minta dibebaskan daripada menjadi Pengarang Berita Harian dan mulai 8 Mac 1978 Samad bertugas sebagai seorang daripada enam orang penolong khas dengan tugas-tugas tertentu seperti menulis rencana pengarang dan artikel feature.  Sejak akhir 1981, beliau bertugas sebagai Ketua Pengarang akhbar Warta Teberau.  Jawatan terakhir A. Samad Said ialah sebagai Ketua Pengembangan Sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur.  Kini A. Samad Said menumpukan seluruh masa dan perhatiannya kepada bidang penulisan.

 

Isterinya, penyair Salmi Manja, seorang penulis yang cukup dikenal oleh peminat-peminat sastera.  Seperti Samad, Salmi juga menulis sajak dan cereka.

 

Kejayaan A. Samad Said sebagai sasterawan ialah hasil daripada pengalamannya dan berkat kerajinannya membaca karya-karya orang lain.  Dalam karya Samad kita melihat ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang.  Beliau bukan sahaja begitu cermat dan teliti menghadapi dan membentuk watak-watak, tetapi juga terhadap alam, benda hidup dan mati, yang menjadi latar ceritanya.  Beliau seolah-olah mencari erti dalam semuanya itu.  Samad juga sedar bahawa untuk melahirkan karya yang bererti, seseorang tidak hanya bergantung kepada bahan dan bakat kekuatan fikiran sahaja, tetapi pembacaan dan pengalaman yang luas amatlah penting.  Kerana itu, Samad meluaskan pembacaannya kepada bidang politik, sosiologi, ekonomi dan psikologi serta karya-karya besar Li Po, Tu Po dan Rabindranath Tagore.  Cara beliau membaca agak aneh, yakni dengan menggaris atau menanda ayat-ayat, dialog-dialog atau ungkapan-ungkapan yang menarik dalam prosa, novel, dan malahan puisi.  Ini memperlihatkan betapa teliti pembacaan dan pemerhatiannya.  Sikap telitinya ini terpancar juga pada deskripsi dan dalam dialog-dialog karyanya.

 

Sungguhpun Samad sangat mengutamakan nilai sastera, beliau tidak pula menolak konsep “Seni untuk Masyarakat”, malah puisinya yang pertama diberinya judul “Untuk Angkatan 50” yang tersiar dalam Utusan Zaman (1950).  Samad sendiri pernah menjadi anggota ASAS 50, badan penulis yang bergerak dengan slogan, “Seni untuk Masyarakat “, tetapi pendekatan Samad berbeza daripada penulis-penulis lain.  Beliau berhasil memadukan tugas sastera dengan nilai yang diperlukan.  Beliau dianggap sebagai tokoh yang menghubungkan sasterawan-sasterawan 50-an yang mementingkan tema dan mesej dengan sasterawan-sasterawan generasi kemudiannya yang lebih cenderung menekankan nilai dalam kesusasteraan.

 

Meskipun Samad lahir di tengah-tengah Angkatan 50, tetapi daya ciptaannya berbeza daripada tokoh-tokoh ASAS 50 yang lain.  Hal ini demikian kerana, beliau dibesarkan di kota kosmopolitan Singapura, terdidik secara formal dalam bahasa Melayu dan Inggeris, dan tidak pernah secara aktif terlibat dalam perjuangan politik atau ideologi yang menentang penjajah.  Tokoh-tokoh lain itu terlibat dengan perjuangan membebaskan masyarakat, karya mereka berlatarbelakangkan daerah pedesaan dan rakyat, lebih banyak terdedah kepada bahan bacaan dari Indonesia, dan yang secara sedar, menjadikan sastera sebagai alat kedua dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.  Walaupun Samad bergaul dengan mereka dalam satu periode yang sama dan mempunyai latar belakang dan pendidikan yang berbeza,  namun Samad cuba menyamakan cita-cita sasteranya dengan mereka tetapi membezakan dirinya dari segi stail dan pencapaian.

 

Novel pertamanya, yang asalnya berjudul Gerhana  kemudian diterbitkan dengan judul Salina ialah sebuah novel yang tebal dan berjaya mengangkat martabat kesusasteraan Melayu ke tahap yang disifatkan oleh Profesor A.  Teeuw dan sesetengah sarjana sebagai bertaraf antarabangsa.  Novel yang hanya memenangi hadiah penghargaan dalam peraduan penulisan novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1958) dan yang dihasilkan oleh Samad sewaktu beliau baru berusia 23 tahun ini, akhirnya menjadi sebuah karya yang menjadi garis pemisah antara karya-karya penulis lama dengan baru dan antara Samad dengan penulis-penulis 50-an.

 

Salina menceritakan kehidupan masyarakat terutama orang Melayu di Kampung Kambing, Singapura selepas Perang Dunia Kedua.  Ia menggambarkan kemiskinan, keruntuhan moral di kota, dan pergelutan untuk mempertahankan peribadi di tengah-tengah kebobrokan.  Ini bukanlah persoalan yang sama sekali asing dalam kesusasteraan Melayu, tetapi Samad telah memperlihatkan kebolehan seninya dengan melukiskan semua hal ini secara artistik melalui dialog-dialog dan tingkah laku watak-wataknya.  Manusia yang lahir dalam Salina ialah manusia yang natural bukannya yang menjelma sebagai boneka dengan sifat-sifat hitam putihnya.  Novel ini telah diadaptasi menjadi bentuk teater oleh dramatis Johan Jaaffar dan dipentaskan sempena Pesta Kesenian Kuala Lumpur (1986), dan kemudiannya di Singapura.

 

Seperti Salina, novelnya Sungai Mengalir Lesu juga menampilkan pengalaman langsung Samad dalam masyarakat yang menderita akibat perang.  Pemerintahan Jepun yang singkat di Singapura dan penderitaan masyarakat akibat perang, memberikan kesan yang cukup kuat dalam diri Samad yang pada masa itu masih kanak-kanak lagi.  Beliau mengutip kembali butir-butir pengalaman itu untuk menceritakan keadaan orang Melayu dan orang Indonesia yang hidup melarat dan menjadi buruh di Singapura.

 

Di samping novel, Samad juga memperlihatkan kekuatannya dalam penulisan puisi seperti yang terkumpul dalam kumpulan Liar  di Api.  Beliau antara penulis  yang terawal melakukan eksperimen dalam sajak-sajak bebas.  Selepas itu, beberapa buah lagi kumpulan puisinya telah diterbitkan seperti Benih Harapan (1973), Daun Semalu Pucuk Paku (1975) dan Benih Semalu (1984).

 

Samad memberikan banyak waktu untuk menulis beberapa buah lagi novelnya seperti Di Hadapan Pulau. Langit Petang dan Daerah Zeni.  Sebuah buku tentang latar belakang pengalamannya menulis Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Langit Petang telah diterbitkan, berjudul Dari Salina ke Langit Petang. Ia merupakan hasil tulisan bercorak autobiografi, rakaman pengalaman Samad yang menceritakan bagaimana beliau lahir menjadi seorang pengarang dan proses penghasilan tiga buah novelnya yang penting itu.

 

Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976, bersama-sama beberapa pengarang lain, beliau diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.  Tahun 1979, juga turut memberi erti kepada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama, beliau telah dipilih menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards).  Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara 1985.  Dalam majlis penganugerahan itu, telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit.  Dalam tahun 1993, A. Samad Said menerima Anugerah ASEAN    1993 (Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darulsalam.

 

Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A. Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran `Datuk’ dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.

 


KARYA

 

Novel

 

- Salina,  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1961, 495 hlm.
- Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikir,  Melaka:  Penerbitan Abbas Bandung, 1966, 103 hlm. 
- Sungai Mengalir Lesu, Kuala Lumpur:  Pustaka Gunung Tahan, 1967, 135 hlm.  Diterbitkan kembali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 137 hlm.
- Di Hadapan Pulau, Kuala Lumpur : Pustaka Sistem Pendidikan, 1978, 129 hlm.
- Adik Datang, Kuala Lumpur:  Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1980, 220 hlm.
- Langit Petang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 143 hlm.
- Daerah Zeni, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.; 1985, 182 hlm. 
- Hujan Pagi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 418 hlm.
- Cinta Fansuri, Petaling Jaya:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.; 1994, 156 hlm.

 

Novel Remaja Kanak-kanak

 

- Bendera Merah di Atas Bukit, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1968, 79 hlm.
- Lima Kawan ke Rumah Rahsia, Kluang:  Pustaka Pendidikan Sdn. Bhd., 1968, 101 hlm.
- Jangan Ikut Jalan Ini, Singapura: Pustaka Nasional, 1969, 101 hlm.
- Mengejar Tetamu di Waktu Senja, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1974, 94 hlm.
- Yang Berat Sama Dipikul, Singapura:  Pustaka Nasional, 1969, 85 hlm.
- Keledang, Kuala Lumpur; Mac Millan Publishers Ltd., 1979, 143 hlm.
- Antara Kabus ke Kabus, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1980, 67 hlm.
- Di Simpang Jalan, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 95 hlm.
- Jalan Retak, Kuala Lumpur:  Pustaka Melayu Baru, 1980, 65 hlm.

 

Cerpen

 

- Liar di Api, Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad. t.th., 183 hlm.
- Daun-daun Berguguran (bersama Salmi Manja), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1962, 152 hlm.
- Debar Pertama, Kuala Lumpur:  Penerbitan Federal Berhad, 1964, 76 hlm.
- Ke Mana Terbangnya Si Burung Senja?,  Kuala Lumpur:  Pustaka Melayu Baru, 1966, 118 hlm.
- Panorama (Peny.), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1966, 112 hlm.
- Bunga Gunung (Peny.) Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd., 1982, 153 hlm.
- Angin Pulau (antologi bersama), Kuala Lumpur: Teks Publishing  Sdn. Bhd. 1985, 153 hlm.
- Angin Pulau (antologi bersama), Petaling Jaya:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 339 hlm.
- Titisan Indah di Bumi Merkah (antologi bersama), Petaling Jaya:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 405 hlm.
- Hati Muda Bulan Muda:  Kumpulan Cerpen 1954 – 1992 (Peny. Othman Puteh), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993,495 hlm.

 

Puisi

 

- Liar di Api,  Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad. t.th., 183 hlm.
- Puisi Baru Melayu 1942 – 1960 (antologi bersama), Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1961, 26 hlm.
- Daun-daun Berguguran (bersama Salmi Manja), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1962, 152 hlm.
- Sajak-sajak Melayu Baru 1946 – 1961/Modern Malay Verse 1946-1961 (dwibahasa), (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1969 (cetakan keempat), 135 hlm.  Cetakan pertama 1963.
- Benih Harapan, Kuala Lumpur: Grafika Sendirian Berhad, 1973, 24 hlm.
- Daun Semalu Pucuk Paku, Kuala Lumpur: Balai Penerbitan Nusa, 1975, 39 hlm.;
- Kuala Lumpur (antologi bersama), Kuala Lumpur: GAPENA, 1975, 57 hlm.
- Pilihan Puisi Baru Malaysia-Indonesia (anatologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 314 hlm.
- Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294 hlm.
- Benih Semalu, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 69 hlm. (cantuman dua antologi: Benih Harapan dan Daun Semalu Pucuk Paku).
- Bintang Mengerdip (antologi bersama), Kuala Lumur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 75 hlm.
- 100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 141 hlm.
- Bunga Gerimis (antologi bersama), Petaling Jaya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 132 hlm.
- Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.
- Malaysia dalam Puisi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 316 hlm.
- An Anthology of Contemporary Malaysian Literature (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 413 hlm.
- Kumpulan Puisi Malaysia/Malaysian Poetry (1975 – 1985) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 167 hlm.
- Puisi Baharu Melayu (1961-1986) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.
- Balada Hilang Peta, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, 69 hlm.
- Suara Rasa/Voice from Within (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993, 228 hlm.

 

Drama

 

- Di Mana Bulan Selalu Retak, Singapura: Malaysia Publication Ltd. 1965, 135 hlm.
- Ke Mana Terbangnya Si Burung Senja, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1966, 118 hlm.
- Wira Bukit, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, 92 hlm.
- Lantai T. Pinkie, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, 137 hlm.
- Lazri Meon Daerah Zeni, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 138 hlm.

 

Esei/Kritikan

 

- Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden (bersama Usman Awang), Kuala Lumpur:  Penerbitan Federal Berhad, 1963, 199 hlm.
- Damai (kata pengantar), Kuala Lumpur:  Penerbitan Federal Berhad, 1966, 136 hlm.
- Laungan (Kata pengantar), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1962, 152 hlm.
- Tangan yang Simpatik, Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1981, 279 hlm.
- Between Art and Reality (Selected Essays), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, 479 hlm.

 

Autobiografi

 

- Dari Salina ke Langit Petang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 83 hlm.

 

Umum

 

- Warkah kepada Salmi Manja, Kuala Lumpur:  Penerbitan Federal Berhad, 1965, 68 hlm.
- Antara Bulan dan Wira, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, 632 hlm.
- Warkah Eropah, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 235 hlm.
- Koleksi Terpilih A. Samad Said (Peny. Sarah Sadon), Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 510 hlm.
 

Pautan

 

-   Koleksi/direktori penulis: A. Samad said

-  Dunia Penyair: biografi

-  Dunia penyair: Syair Pesanan Ayahanda

-  Syair oleh A. Samad Said: Tetamu senja

-  A. Samad Said: Karya

-  Buku dari kaca mata ku: cinta baru

 

 
Dikemaskini pada 5 Jun 2009
: 5038620
 
Cetak versi format pencetak untuk halaman ini  Cetak halaman ini  E-Mel halaman ini kepada kawan  E-mel halaman Ini
  Carian Laman
  Hubungi Kami

Aduan Pelanggan

Maklum balas

Telefon Operator
03-2147 9000

Telefon Pantas

 

Arkib Soal/Jawab

  Kategori Ruang Untuk:

Karyawan
Guru Pelajar
Swasta
Orang Awam
Pihak Berkuasa Tempatan
Warga DBP


SOAL SELIDIK
KAJIAN KESEDARAN RAKYAT MALAYSIA TERHADAP
BULAN BAHASA KEBANGSAAN (BBK)

  Statistik

Piagam Pelanggan
Bilangan Transaksi Perkhidmatan Dalam Talian

  Perkhidmatan
Perkhidmatan Dalam Talian
Perkhidmatan Kaunter
  Muat Turun Dokumen

Borang,Brosur,Buku,Poster

  Majalah
  Surat Berita

Jika anda ingin menerima surat berita kami, sila taip e-mel anda di bawah.

Batal Langganan

 Kaji Selidik

 

Tahap perkhidmatan yang disediakan di Laman DBP

 

Sangat Memuaskan

Memuaskan

Tidak Memuaskan

Sangat Tidak Memuaskan

 

Lihat Bancian Lepas


** Sekiranya perkhidmatan laman DBP
o tidak memuaskan, atau
o sangat tidak memuaskan
mohon beri maklum balas.

 

Jumlah Capaian
  12056050120560501205605012056050120560501205605012056050120560501205605012056050 
Hari Ini 854
Semalam 1320
Minggu Ini 6303
Minggu Lepas 7349
Bulan Ini 41433
Bulan Lepas 41037
Semua 12056050

(Mulai Jun 2005)

Alamat:

Dewan Bahasa dan Pustaka,
Jalan Dewan Bahasa ,
50460 Kuala Lumpur.

Telefon 03-2147 9000, 9001, 9002, 9003, 9004, 9006, 9007
Faksimile: 03-2147 9619 (Umum)
03-2147 9110(Pengembangan Bahasa dan Sastera)
03-2147 9645 (Pembinaan Bahasa dan Sastera)
03-2147 9623 (Penerbitan)

 Wordpress   Facebook DBP    PRPM   Bulan Bahasa Kebangsaan  Twitter DBP Twitter     PUSPANITA DBP  RSS DBP Suapan RSS    Mobil web DBP

Laman Rasmi Kerajaan Malaysia Multimedia Super Corridor Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia Jabatan Perkhidmatan Awam Kementerian Pelajaran Malaysia Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan

       ..                 

Dasar Privasi |Dasar Keselamatan| Notis | Hak cipta | Pasukan Web | W3C

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk kepada
Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam
Paparan terbaik Internet Explorer 8.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.


Tarikh akhir kemas kini: 31/10/2014