Hubungi Kami | Maklum Balas| Soalan Lazim | Peta Laman | Bantuan | Mobil web | Intranet                                        Reset Latar Belakang Tukar Latar Belakang Tukar Latar Belakang Tukar Latar Belakang Font Kecil Font Pertengahan Font Besar Font Hitam Font Merah Font Biru Font Hijau Font Kuning Capaian Kurang Upaya (OKU) / Disability Access

Menjadi Peneraju Utama Pengembangan Bahasa dan Persuratan Melayu dalam Pembinaan Negara Bangsa                       | Melayu | English

  Selamat Datang Pelawat  

  Rabu, 22hb Oktober 2014  

 MAJALAH - DEWAN SASTERA

 

 

Daripada Editor
Adakah Tempat untuk Bidang Kesusasteraan dalam RMK-9?

Surat Kepada Editor
Sokong Usaha Penerbitan Sendiri
Abdul Razak Othman

Sependapat dengan Shahnon
HMS Abu Bakar

 

 

Puisi Pilihan
Leo A.W.S

 

Cerpen
Hikayat Jerebu Pulau Jerubuk
Ibnu Ahmad al-Kurauwi.

Seorang Pengail dan Sebuah Kota yang Damai
A. Jaaffar Munasip

Lelaki Penuh Ilham
 Ghazali Lateh

Maskulin
 Hasan Baseri Budiman

Drama
Nazar Kumar (Bahagian Kedua)
Dahiri Saini

 

Puisi Bulan Ini
Bahtera Itu
Abdullah AR

Dia Tetap Begitu
Hanis NS

 Menyubur Luhur
 Nazim Mohd. Subari.

Sepatu Waktu
Husna Nazri

Menggali Telaga Biru
Ami Masra

Perempuan yang Tertidur di Bawah Pohon Mangga
Suhaimi Haji Muhammad

Gelora Marhaen
Izani H.D

Pisau
Rasiah Halil

Mesra Alam
Shaari A.B.

Penjual Bunga dan Penjual Puisi
Wadi Leta S.A.

Anjing-anjing yang Menyalak
Ali Jusuh

 

Ujana Klasik
Syair Guru
Ghazali Lateh

 

 

 

Karyawan Bulan Ini
Leo A.W.S

Sentuhan Kemarau, Air dan Hujan: Beberapa Puisi Leo A.W.S
Darma Mohammad

Fokus
Menerbitkan Sendiri Karya: Dimensi dan Lanskap Berkreatif yang Lain
Lim Swee Tin

Penerbitan Sendiri: Antara Kebajikan dengan Keuntungan
Leo A.W.S.

Penerbitan Sendiri: Antara Puas dengan Derita 
 Nisah Haji Haron

Selingkar Bundaran Kata
 Sebuah Perjalanan Sastera di Jerman Timur
Muhammad Haji Salleh

Analisis
Salinan daripada Realiti dan Kreativiti
Mawar Shafie

Puitika dan Ketertiban Seni dalam Puisi
Awang Azman Awang Pawi

Tabir Hayat 
Allahyarham Saleh Daud Optimistik Terhadap Sastera Kanak-kanak
A.Rahim Abdullah

Pabila Hujan Turun
 Celoteh Hal-ehwal Estetika
Shahnon Ahmad

Bicara Karya Kebenaran dalam Lamunan Puitis Sebuah Trilogi Satu Ukur Tara Pemikiran
Sohaimi Abd. Aziz

Monolog Kecil 
Menziarahi Taman yang Dilalaikan
Baha Zain

Sastera Antarabangsa
Anugerah Lain Selain Hadiah Nobel
Faisal Tehrani

Spektrum
Dua Orang Penyair Senandung Rindu
Noordin Hassan

Sorotan
IPM Bawa Sastera ke Masjid
Razali Endun

Malam Baca Puisi PENA - Dewan Sastera Februari: Pedoman kepada Penulis Baharu
Niamat 'Atifi

Pengakuan Penyair: Mimpi antara Keluhan
Mulia Kurniawan

Ulasan Buku
Setahun Sebuah Sajak

Teori Sastera Kontemporari

Teori dan Kritikan Sastera: Malaysia & Singapura

Lang Budi

 

DARIPADA EDITOR

Adakah Tempat untuk Bidang Kesusasteraan dalam RMK-9?

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, merupakan strategi negara ke arah menghadapi cabaran baharu, menyelesaikan masalah persaingan ekonomi.  RMK-9 juga satu strategi membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang pendapatan, supaya masyarakat Malaysia berdikari dan mengetepikan mentaliti kerja makan gaji.
    Biarpun dalam RMK-9 tidak dinyatakan secara khusus peranan bidang kesusasteraan dalam mencapai wawasan 2020 namun, sebagai rakyat Malaysia penulis mesti bijak menterjemahkan aspirasi nasional dalam RMK-9 ke arah masyarakat minda pintar.  Di sinilah bidang kesusasteraan dapat memainkan peranannya.  Kesusasteraan perlu ada strategi ke arah memperbaik taraf ekonomi sasterawan atau penulis sebagai sebahagian daripada masyarakat Malaysia.  Kecenderungan menerbitkan sendiri karya yang menjadi trend kepada penulis kini merupakan strategi ke arah mengurangkan sikap “pergantungan” penulis kepada badan kerajaan, seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).  Hal ini merupakan perkembangan yang sihat dalam dunia kesusasteraan tanah air.  Penulis tidak lagi bergantung pada sesebuah penerbit, bahkan boleh berdikari.  Malah, mereka boleh menjadi kaya raya kerana menerbitkan sendiri karya mereka.  Terlalu banyak rahsia kejayaan yang dikecapi oleh mereka setelah mengorbankan masa dan wang ringgit yang banyak.  Nama mereka yang berjaya telah tercatat dalam sejarah kesusasteraan negara, sebagai penerima anugerah dan hadiah dalam bidang kesusasteraan.
      Walau bagaimanapun, penukaran arah aliran pemikiran sasterawan atau penulis ini bukan bermakna DBP kini boleh menarik nafas lega dan melepaskan tanggungjawab hakikinya.  DBP tetap dengan peranannya dalam mengembangkan bahasa dan sastera tanah air yang satu daripada tanggungjawabnya adalah memasyarakatkan semua karya sastera kebangsaan.

Rozninah Abd. Azib



FOKUS 

Menerbitkan sendiri karya:  Menyemarakkan Industri Penerbitan
 
Lim Swee Tin

Seingat saya, pertama kali saya menerbitkan sendiri karya saya, pada tahun 1981.  Ketika itu sudah sedekad saya berkarya.  Saya berasakan sudah banyak karya yang terbit di media, khususnya sajak, dan sudah tiba masanya saya memiliki sebuah buku kumpulan sajak yang lengkap.  Maka, melalui inisiatif yang tentunya dituruti keinginan yang melonjak-lonjak, saya menghimpunkan sejumlah 5O buah karya daripada yang tersimpan itu, sebahagian besarnya sudah pernah terbit di media, yang kemudiannya saya judulkan manuskrip kumpulan sajak pertama saya itu, “Eva”.
Sebenarnya, menerbitkan sendiri karya bukanlah sesuatu yang jelik, bahkan banyak kelebihannya, jika kena pada caranya, berbanding sekiranya diterbitkan oleh sesebuah penerbitan. 

Elok pula rasanya kalau saya lanjutkan perihal penerbitan Eva itu.  Eva diterbitkan setelah kira-kira 1O tahun saya menceburi bidang penulisan kreatif.  Ketika itu, dalam fail simpanan saya telah ada hampir 1OO buah sajak saya.  Angka ini bukanlah besar jika diukur tempoh hampir sedekad itu.  Sungguhpun demikian, saya amat berhati-hati apabila melakukan saringan dalam memilih karya.  Saya menggunakan beberapa kriteria dalam membuat pemilihan ini, iaitu:
• Sajak yang saya sukai.
• Sajak yang memaparkan idea yang agak serius.
• Sajak yang digarap bahasa yang indah, puitis.
• Sajak yang dikira dapat mewakili diri.
• Sajak yang ada kemungkinan dapat diketengahkan.
Ada rakan yang menganjurkan agar saya mengajukan kumpulan ini ke sebuah penerbitan ternama.  Namun, saya mempunyai pertimbangan yang lain.  Pertama, saya penulis muda pada waktu itu.  Sebagai penulis muda, siapakah yang akan memberikan perhatian kepada kumpulan sajak saya?  Kedua, karya saya yang tersiar dalam majalah-majalah yang dikira berwibawa pada ketika itu, seumpama Dewan Sastera, bukannya bagus sangat, pada tanggapan saya sendiri.  Ketiga, saya tidak pernah menerima apa-apa hadiah peraduan mengarang.  Dari satu segi, sudah tentu karya saya kurang nilainya.
Pertimbangan ini sebenarnya cuba untuk menyelubungi ketidakyakinan dalam diri saya.  Terus teranglah, saya tidak sedikit pun percaya  bahawa kumpulan sajak saya ini akan diterima untuk diterbitkan.  Lalu, jalan terbaik yang mampu terfikir pada masa itu adalah mengusahakan sendiri penerbitan kumpulan sajak ini.  Saya sebaliknya berusaha meyakinkan diri bahawa penerbitan ini perlu atas beberapa faktor, iaitu;
• Untuk memiliki sebuah kumpulan sajak sendiri yang kelak dapat mengetengahkan diri saya di persada kesusasteraan tanah air.
• Membayangkan kemungkinan akan ada sebuah dua atau lebih karya yang kelak menarik perhatian penyelenggara antologi sajak untuk dibukukan.
• Menggunakan buku ini untuk mempelbagaikan bahan dalam  bengkel yang sekali-sekali pada ketika itu saya diundang untuk mengendalikannya.
   Akhirnya, siaplah manuskrip “Eva”.  Saya membacanya berkali-kali dengan hasrat untuk membuang, atau menukar atau menambah karya.  Saya umumnya sudah berpuas hati, dan yang paling penting menyedapkan hati bahawa karya-karya yang ada itu sudah memadai.  Saya mula memikirkan tatarias kulit buku, lalu menggunakan khidmat Selina S.F. Lee, isteri saya sebagai model.  Saya juga jurufotonya dan merangkap pereka letak kulit.  Saya memilih fon, menentukan saiz buku dan memilih warna sekali gus.
  Saya menemui pencetak, Syarikat Percetakan al-Ahmaddiyah, di Kota Bharu, Kelantan, dan menyetujui kos percetakan RM1OOO.OO untuk 1OOO naskhah.  Saya menemui penyair Marhan bagi memohon keizinan menggunakan nama syarikatnya selaku penerbit buku saya, dan beliau bersetuju.  Pada halaman dalam kumpulan sajak, Eva, tercacat Penerbitan Marhan.  Eva siap dicetak dalam jangka masa tidak sampai dua bulan.
   Kumpulan sajak ini sudah boleh dijual kepada kawan-kawan, dan Eva juga dikupas dalam beberapa tulisan di akhbar dan majalah.  Namun, yang membanggakan saya, hasrat awal saya tertunai sudah apabila beberapa karya dalam Eva dimohon pula oleh penyelenggara dalam penyusunan antologi sajak.  Lebih membanggakan lagi, antologi ini kemudiannya dijadikan teks kesusasteraan Melayu sekolah menengah di Malaysia.  Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu bahawa Eva merupakan segala-galanya bagi saya.

Menerbitkan sendiri karya bukan berpunca daripada keghairahan.  Apatah keghairahan yang melulu dan tidak bertempat.  Hakikatnya, saya mempunyai asas yang cukup kukuh untuk menerbitkan sendiri karya saya.
   Pada tahun 2OOO saya diangkat menerima Anugerah S.E.A Write atau S.E.A Write Award daripada Kerajaan Thailand, mewakili Malaysia.  Ketika di Bangkok saya banyak berinteraksi dengan para pengarang di Thailand, dan memperoleh banyak pula kesan daripadanya.  Pertama, saya melihat banyak pengarang di sana yang menerbitkan karya sendiri.  Menerbit sandiri karya semacam fenomena.  Mereka kelihatannya amat selesa sekali dengan tidak bergantung harapan pada belas ihsan penerbit yang ada.  Tetapi, bukanlah semua.  Ada penulis di sana yang hidup senang-lenang kerana karya yang diterbitkan oleh penerbit, ertinya mereka mampu  hidup melalui penulisan.
   Rakan saya, Wimon Sainimnuan, penerima anugerah dari negara tuan rumah yang menghasilkan sebuah novel laris Amata atau Immortality, banyak mendorong saya menerbitkan karya sendiri.  Wimon pengarang muda.  Dia seorang guru sekolah yang sudah bertugas kira-kira enam tahun.  Dalam jangka masa empat hingga lima bulan, novelnya yang diterbitkan sendiri terjual lebih 25O OOO naskhah.  Wimon mengambil keputusan berhenti daripada jawatan gurunya, menjadi penerbit dan mahu membuka dimensi baharu dalam kerjaya seninya, dan landskap ini cukup menarik.
   Dewan Bahasa dan Pustaka sebenarnya amat berjasa kepada saya.  Pada tahun 1985 misalnya, DBP telah menerbitkan kumpulan sajak pemenang Anugerah Puisiputra 2 saya, Akrab.  Kumpulan sajak ini mendapat sambutan baik, dijual dengan cemerlang oleh DBP, dan diulang cetak pada tahun 1992.  Pada tahun 1991, DBP menerbitkan pula kumpulan sajak saya Menyusur Musim.  Manakala, pada tahun 1998, DBP menerbitkan kumpulan sajak Sebuah Fragmen Cinta.  Kumpulan ini mendapat sambutan yang luar biasa, dan DBP bermurah hati mengulang cetaknya pada tahun 2OOO. 
   Melihat perkembangan penerbitan buku kumpulan sajak saya yang diterbitkan oleh DBP pula, saya fikir buku-buku sajak saya selalu mendapat sambutan di luar dugaan.  Hal ini adalah kerana kumpulan sajak orang lain jarang-jarang yang tercetak lebih daripada sekali, kecuali yang dijadikan teks kesusasteraan Melayu di sekolah.
   Sebuah manuskrip saya. “sketsa”, pada mulanya bermasalah di DBP.  “Sketsa” ialah catatan perjalanan saya selama 26 hari di Indonesia hasil Program Penataran Karya, yang dibiayai sepenuhnya oleh DBP.  Setelah menunjukkan bahawa “sketsa” bukan dipenuhi catatan peribadi, tetapi sebenarnya kesan daripada pengalaman membina dan mengembangkan sastera Melayu, manuskrip saya diterbitkan. 
   Buku ini mendapat sambutan yang amat baik berdasarkan reaksi pembaca yang saya terima.  Mereka suka akan catatan tentang pelbagai perkara terutama dunia buku, proses kreatif pengarang negara jiran, kegiatan teater, seni lukis dan filem di Indonesia.  Jasa DBP besar kerana pada waktu yang sama menerbitkan puluhan antologi yang memuatkan karya-karya saya.
  Saya memutuskan untuk menerbitkan sendiri manuskrip “Kereta Api Malam.”  Himbauan kenangan lebih dua dekad lalu ketika menerbitkan Eva menjelma tiba-tiba.  Saya membuat keputusan pantas, dan manuskrip kumpulan sajak ini saya tukar judulnya kepada “Memetik Mawar”.  Pada penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2OO2-2OO3, kumpulan ini terpilih menerima Hadiah Utama Kategori Kumpulan Puisi Remaja, dengan hadiah RM 5OOO.OO.  Diam-diam dalam hati, saya memikirkan, betapa eloknya jika saya memenangi hadiah ini melalui logo DBP sendiri.  Namun, saya tidak pula menyesal, sebagaimana saya tidak berdendam sebelumnya, kerana saya melihat semua ini sebagai takdir.

Saya kira takdir jugalah yang menentukan akhirnya bahawa karya-karya saya harus saya terbitkan sendiri.  Selepas kejayaan Memetik Mawar, serta memenangi pula Hadiah Sastera Perdana Malaysia, saya kira ada satu titik tolak yang baharu dalam alam penulisan kreatif saya.  Saya bertekad menjadi penerbit yang aktif.  Walau bagaimanapun, sebelum itu, saya terbitkan beberapa karya yang lain, antaranya sebuah himpunan esei berjudul Berkelana di Belantara Kata (2OO2), dan sebuah kumpulan Sajak-sajak Sempena: Citra Kurnia yang saya biaya sepenuhnya dan menggunakan penerbitan milik sahabat saya, Penerbitan Pustaka Nusa Sdn. Bhd.
    Keinginan menerbitkan sendiri karya ini semakin melonjak apabila sebuah lagi manuskrip saya ditolak oleh DBP. Manuskrip kumpulan sajak “Bulan antara Lalang” yang merupakan sebuah kumpulan sajak pilihan dan hasil cipta terbaharu saya, menurut DBP, tidak sesuai diterbitkan.  Saya amat kecewa.  Keadaan ini memberikan saya kefahaman bahawa itulah nasib penulis, apabila berhadapan dengan situasi amat bergantung harapan pada sesebuah penerbit.  Rakan-rakan saya di Thailand sudah lama mengubah cita rasa mereka.  Saya perlu serius, kalau begitulah keadaannya, dalam menentukan hala tuju dalam bidang penulisan kreatif.  Terus terang, saya ingin memainkan peranan yang lebih besar, selepas DBP sendiri mengangkat saya sebagai penerima S.E.A Write Award.  Rupa-rupanya rezeki ketika itu tidak berpihak kepada saya. 
   Saya mengalah, tetapi tidak beralah!  Memetik Mawar (2OO3) habis terjual sebaik-baik diumumkan menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2OO2-2OO3.  Saya mengulang cetaknya, 1OOO naskhah lagi (2OO4).  Demikian juga dengan Sajak-sajak Sempena: Citra Kurnia, yang disempurnakan pelancarannya di Radio Televisyen Malaysia (RTM) oleh Y.B. Datuk Zainuddin Maidin, pada 1O April 2OO4, ketika itu Timbalan Menteri Penerangan, diulang cetak 1OOO naskhah juga (2OO5).  Selanjutnya saya menerbitkan pula kumpulan lanjutan siri “sajak-sajak sempena”, iaitu “Sajak-sajak Sempena:  Sukma Cemara” (2OO6).
   Sajak yang terkumpul dalam kumpulan-kumpulan ini sebenarnya sajak yang pernah saya deklamasikan dalam pelbagai majlis, dan paling banyak yang dideklamasikan melalui TV1, RTM.  Saya percaya tiada penerbitan yang sudi menerbitkan kumpulan-kumpulan seperti ini, tetapi saya yakin bahawa khalayak pembaca sajak tidak pernah berkurang.
  Saya ada sedikit pengalaman di London; orang sesak di rak yang penuh terisi buku sajak.  Begitu juga semasa di Washington D.C., di Taipei, Taiwan R.O.C, ada toko buku 24 jam.  Rak buku sajak silih berganti dikunjungi pembeli.  Di Singapura, ada kedai buku yang besar, ada rak yang panjang, penuh dengan buku sajak.  Kumpulan baharu saya, Sajak-sajak Sempena:  Sukma Cemara pada masa ini juga mula mendapat sambutan yang baik, dan menanti ketikanya untuk diulang cetak. 

Kejayaan Memetik Mawar membuka ruang yang lain.  Saya mendaftar untuk membuka Penerbitan Citra Kurnia Enterprise.  Citra Kurnia Enterprise mula beroperasi pada tahun 2OO4.  Pendaftaran penerbitan sendiri ini memberikan banyak kesempatan dalam menerbitkan karya sendiri dan membukakan dimensi yang lebih indah lagi menyelesakan.  Namun, menerbitkan sendiri karya rupa-rupanya sering dipandang serong oleh sesetengah pihak.  Saya berasakan sebaliknya.  Sudah tiba masanya bagi saya, kegiatan menerbitkan sendiri karya disorot dari sisi yang lebih positif dan terbuka.
    Ia bukan kerja yang remeh.  Antara lain, menerbitkan sendiri karya boleh memberikan kepuasan yang maksimum.  Jika manuskrip diterbitkan penerbit lain, seawal tahap penilaian kita sudah pun berada dalam kondisi yang serba membimbangkan.  Penerbit akan menentukan sama ada manuskrip boleh diangkat ke jawatankuasa editorial, jawatankuasa penerbitan, menentukan hiasan kulit hadapan buku, konsep, saiz, jenis kertas, fon yang hendak digunakan, dan sebagainya lagi.  Ada antaranya yang terpaksa kita terima dengan hati yang kurang senang.  Sebagai penulis, kita menanti dengan penuh debaran.  Sedangkan, hal ini boleh ditentukan sendiri sekiranya kita yang menerbitkannya.  Mungkin ada penerbit yang bersikap sambil lewa, manuskrip terperap bertahun-tahun lamanya, hiasan kulit hadapan yang kurang memuaskan, royalti yang tidak berpadanan, naskhah jualan yang entah berapa, dan berbagai-bagai kemungkinan lagi yang akan berlaku.
   Semua ini tidak dirasai jika kita sendiri yang menerbitkannya.  Saya meminta jasa baik isteri, yang kebetulan ada pengalaman penerbitan untuk hiasan kulit hadapan dan kebetulan juga berkemahiran dalam bidang bahasa Melayu untuk melihat dari segi isinya dan penyuntingan.  Saya menentukan segala-gala mengikut cita rasa saya, termasuk harga jualan.  Jika rajin menjualnya, merata-rata pula, akan pulanglah modal.  Untung sesekali dapat juga dinikmati.  Yang lain ialah kepuasan!
   Kepuasan sebenar menerbitkan sendiri karya adalah setelah kita melihat semua tenaga dan perahan akal yang dicurahkan menjadi realiti.  Kepuasan sebagai penulis bertambah apabila karya sampai di tangan pembaca. Ada karya yang baharu tercipta sudah termuat dalam kumpulan yang dicetak. Hal ini menyeronokkan pembaca kerana tidak perlu menunggu karya yang sudah usang atau lapuk tiba ...

Ikuti selanjutnya di dalam Majalah Dewan Sastera Mei 2006. Kini di pasaran... dapatkan segera!

 

  Arkib

Majalah di atas boleh didapati di Kedai Buku Koperasi Dewan, Menara DBP,Jalan Dewan Bahasa, 50926 Kuala Lumpur Kedai Buku DBP, Menara DBP, Jalan Dewan  Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka,Tel: 03-21485869 / 03-21433504  Faksimile:03-2148788. Untuk membeli dan langganan http://www.dawama.com

rohaya@dbp.gov.my 03-21482282untuk Pertanyaan                                                                             Tarikh kemaskini:9 Mei 2006. Penyelenggara : Maisura Mohd.Sani. Pembekal Maklumat: Puan Rohaya Yusof ,Bahagian Majalah. 
 

 

 
Dikemaskini pada 6 Nov 2008
: 5015207
 
Cetak versi format pencetak untuk halaman ini  Cetak halaman ini  E-Mel halaman ini kepada kawan  E-mel halaman Ini
  Carian Laman
  Hubungi Kami

Aduan Pelanggan

Maklumbalas

Telefon Operator
03-2147 9000

Telefon Pantas

 

Arkib Soal/Jawab

  Kategori Ruang Untuk:

Karyawan
Guru Pelajar
Swasta
Orang Awam
Pihak Berkuasa Tempatan
Warga DBP


SOAL SELIDIK
KAJIAN KESEDARAN RAKYAT MALAYSIA TERHADAP
BULAN BAHASA KEBANGSAAN (BBK)

  Statistik

Piagam Pelanggan
Bilangan Transaksi Perkhidmatan Dalam Talian

  Perkhidmatan
Perkhidmatan Dalam Talian
Perkhidmatan Kaunter
  Muat Turun Dokumen

Borang,Brosur,Buku,Poster

  Majalah
  Surat Berita

Jika anda ingin menerima surat berita kami, sila taip e-mel anda di bawah.

Batal Langganan

 Kaji Selidik

 

tahap perkhidmatan yang disediakan oleh Laman DBP?

 

Sangat Memuaskan

Memuaskan

Tidak Memuaskan

Sangat Tidak Memuaskan

 

Lihat Bancian Lepas




 

Jumlah Capaian
  12046092120460921204609212046092120460921204609212046092120460921204609212046092 
Hari Ini 296
Semalam 950
Minggu Ini 3694
Minggu Lepas 11134
Bulan Ini 31475
Bulan Lepas 41037
Semua 12046092

(Mulai Jun 2005)

Alamat:

Dewan Bahasa dan Pustaka,
Jalan Dewan Bahasa ,
50460 Kuala Lumpur.

Telefon 03-2147 9000, 9001, 9002, 9003, 9004, 9006, 9007
Faksimile: 03-2147 9619 (Umum)
03-2147 9110(Pengembangan Bahasa dan Sastera)
03-2147 9645 (Pembinaan Bahasa dan Sastera)
03-2147 9623 (Penerbitan)
  Facebook DBP  Facebook PRPM  Facebook Bulan Bahasa Kebangsaan  Twitter DBP Twitter    Facebook PUSPANITA DBP  RSS DBP Suapan RSS    Mobil web DBP

Laman Rasmi Kerajaan Malaysia Multimedia Super Corridor Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia Jabatan Perkhidmatan Awam Kementerian Pelajaran Malaysia Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan
       ..                 

Dasar Privasi |Dasar Keselamatan| Notis | Hak cipta | Pasukan Web | W3C

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk kepada
Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam
Paparan terbaik Internet Explorer 8.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.


Tarikh akhir kemas kini: 20/10/2014