|
|
Nota Editor
CETAK ROMPAK BUKAN ALASAN
Di perkarangan kedai VCD di sekitar Kuala Lumpur, terpampang poster jual murah sejumlah besar VCD stok lama. Apabila diteliti, VCD stok lama ini tidak dapat dijual dengan harga asal. Jadi, untuk melunaskannya, terpaksalah dijual murah. Umpamanya, satu unit VCD yang harga asalnya RM20 boleh dibeli dengan harga RM10. Fenomena ini membayangkan risiko perniagaan yang ditanggung oleh peruncit VCD. Apabila pemilik perniagaan itu ditanya tentang jualan VCD, mereka berkata bahawa jualan sesetengah VCD agak merosot. Kemerosotan jualan VCD asli mungkin disebabkan persaingannya dengan versi cetak rompak. Versi cetak rompak mudah diperoleh apabila penguatkuasaan undang-undang mengenainya kurang dilaksanakan. Dalam dunia teknologi digital, salinan secara haram memang mudah dan pantas dilakukan. Kemudahan teknologi ini mendorong perniagaan VCD haram. Isu VCD haram menimbulkan pelbagai implikasi kepada karyawan dan peruncit CVD. Karyawan rugi kerana kemerosotan jualan VCD asli akan mengurangkan bayaran royalti yang akan diterima oleh mereka. Peruncit VCD tentulah rugi apabila VCD asli yang ditawarkan oleh mereka kurang laris kerana bersaing hebat dengan versi cetak rompak. Jadi, yang mungkin tidak terjejas oleh VCD cetak rompak tentulah penerbit VCD dan pengedarnya kerana mereka mendapat jualan yang pasti apabila membekalkan VCD kepada peruncit. Penerbit atau pengedar VCD, setelah memperoleh Sijil B, tentulah membuat beberapa banyak salinan asli yang akan dijual kepada peruncit. Tambahan pula, penerbit atau pengedar VCD pernah dilaporkan mendapat keuntungan yang berlebihan dengan memanipulasikan Sijil B. Maka itulah, apabila timbul isu pertambahan sedikit levi bagi VCD import, banyak bantahan yang diterima. Antaranya cetak rompak. Alasan ini sukar diterima kerana dalam analisis terakhir, cetak rompak tidak menjejaskan penerbit VCD atau pengedarnya. Yang terjejas ialah peruncit VCD asli. Cetak rompak mengakibatkan kerugian ekonomi kerana negara tidak dapat mengutip cukai jualan barangan yang dijual secara haram, seperti jualan VCD cetak rompak. Bagi mengimbangi kerugian ekonomi akibat jenayah cetak rompak, wajarlah levi VCD dinaikkan sedikit. Pertambahan levi ini juga setidak-tidaknya dapat mewujudkan dana bagi memajukan lagi industri hiburan. Kemajuan pesat industri hiburan tentulah menguntungkan semua pihak.
Abd. Razak Abu Bakar
|
b |
FOKUS
DAPATKAH LEVI MENINGKATKAN KECERDIKAN FILEM?
Oleh ABU HASSAN HASBULLAH
Dalam Belanjawan 2006, insentif telah diberikan kepada industri perfileman seperti pengurangan dan penghapusan cukai, duti dan levi produk dan hasil kebudayaan, kesenian, warisan termasuk hiburan seperti filem. Malah terdapat saranan agar levi VCD import dinaikkan supaya hasilnya dapat digunakan untuk pembangunan industri perfileman dan seterusnya meningkatkan kecerdikan perfileman tempatan. Walau bagaimanapun, kecerdikan perfileman tempatan harus bergerak daripada landasan intelektualisme. Kerajaan harus sedar akan keperluan pengusaha, dan pihak pengusaha serta pengamal filem harus sedar akan aspirasi masyarakat dan pemerintah. Sebab itulah dituntut agar orang politik misalnya wakil-wakil rakyat mengusulkan cadangan memajukan perfileman. Pihak kerajaan pula seharusnya dengan serius meletakkan dasar kecerdikan perfileman dengan menghargai intelektualisme dan kreativiti pengusaha dan pengamal filem, serta membuka hubungan untuk seluruh masyarakat yang terlibat dalam memberikan gagasan untuk menghasilkan kecerdikan perfileman. Hal ini demikian kerana sebagai sebuah negara demokrasi, kerajaan sebagai pengurus dan pembimbing manakala masyarakat umum menjalankan peranan yang sangat besar. Semakin besar peranan yang dimainkan oleh masyarakat umum, semakin demokratiklah kemajuan negara ini. Sekiranya fenomena ini terjadi dalam menguruskan kecerdikan perfileman tempatan, maka tercapailah harapan dalam usaha memajukan perfileman tempatan Dengan kata lain, kecerdikan perfileman Malaysia bukan boleh dibangunkan melalui pendapatan daripada bantuan pembangunan melalui pengurangan dan penghapusan duti, cukai dan levi sahaja. Sebaliknya kecerdikan itu dapat dipupuk dengan melakukan pemetaan dan pemaparan secara menyeluruh dan tepat, dan menguruskan kecerdikan perfileman yang telah direncanakan dan dibuat selama ini sebagai cara mengidentifikasikan dan mengesani kelemahan dan kekurangannya lalu menjadikannya sebagai persoalan dasar yang mesti diselesaikan. Isu seperti dasar kecerdikan perfileman yang tidak jelas; misalnya sikap tidak konsisten kerajaan terhadap rancangan pembangunan perfileman seperti dana kepada para penguasa dan penggiat filem, dasar kemasukan filem asing, dasar tayangan dan pawagam, dasar pelaburan dalam industri filem, undang-undang hak cipta dan royalti, dasar pendidikan perfileman, dasar pembangunan industri filem di peringkat negeri, dasar penggalakan penubuhan akademi latihan perfileman dan lakonan, dasar kebebasan menonton dan hak penghargaan masyarakat umum terhadap filem, dasar pembangunan pengurusan pengedaran, penjualan dan pameran filem termasuk pembangunan festival termasuk program besar yang gagal. Di samping itu terdapat rungutan, kritikan dan dakwaan bahawa Lembaga Penapisan Filem gagal bekerja secara profesional dan intelektual dalam memahami keperluan pembangunan perfileman yang mengakibatkan filem Malaysia kehilangan kreativiti dan kandungan. Pengurusan organisasi dan institusi yang bekerja untuk menguruskan kecerdikan perfileman gagal untuk menemukan suatu cara bekerja secara berkesan. Jadi, pemberian insentif kepada perfileman misalnya dengan pengurangan cukai, duti dan levi, serta pengagihan subsidi dan bantuan dana bukanlah prasyarat terbesar yang menentukan kejayaan perfileman nasional. Sebaliknya, bagaimana semua bantuan dan kemudahan serta insentif itu dapat disalurkan secara menyeluruh dan penyaluran secara penuh ini adalah berhubungan dengan kecekapan institusi yang dilantik untuk menyelia urusan pembangunan perfileman itu. Kecerdikan perfileman yang baharu harus mencerminkan keinginan masyarakat dalam usaha memenuhi tuntutan dan keperluan mereka. Maksudnya kecerdikan perfileman di Malaysia mesti dirangka dan disusun agar mampu melindungi dan menjamin hak asasi menonton dalam kalangan masyarakat. Kecerdikan perfileman di Malaysia juga mesti mampu memupuk dan meningkatkan apresiasi umum terhadap filem, sehingga masyarakat sebagai khalayak dan pengikut dapat menilai kandungan filem yang tidak memudaratkan budaya, kepercayaan, agama dan adat resam. Kecerdikan perfileman tempatan hendaklah berpijak pada kepentingan pembangunan perfileman secara menyeluruh yang bukan sahaja berpusat di bandar tertentu, malah di peringkat daerah dan negeri. FINAS harus merencana suatu gerakan kecerdikan perfileman tentang bagaimana dana dan kemudahan yang ada akan dapat dijadikan sebagai sumber untuk membangunkan sumber daya dan semangat perfileman di peringkat daerah dan negeri. Sekiranya setiap daerah ada penerbit filem, menghasilkan filem baik dokumentari mahupun filem fiksyen, dengan memiliki pawagam dan pusat pengedaran sendiri maka pencarian tentang bagaimana memajukan perfileman nasional akan ... |
|