|
BINGKISAN EDITOR
Azam dan Harapan Tahun Ini
“Apakah azam anda?” Itulah soalan yang sering ditanya setiap kali tiba tahun baharu, sama ada tahun Masihi ataupun tahun Hijrah. Jawapan yang diberikan pelbagai dan menarik, tidak kurang pula yang menimbulkan tanda tanya tentang realistiknya azam itu dan keupayaan untuk mencapainya. Sukar sekali untuk bertemu dengan orang yang tiada azam dan harapan tahun baharu. Lazimnya, tahun baharu disambut dengan meriah oleh kebanyakan warga dunia pelbagai bangsa, bahasa dan budaya di berbagai-bagai tempat di setiap penjuru dunia – daripada orang kaya kepada orang miskin, dari negara maju hingga negara mundur. Masing-masing mempunyai azam dan harapan baharu, termasuk mereka yang memperbaharui yang lama, yang dirancang dengan amat teliti untuk diperjuangkan pada tahun tersebut. Kalau segala yang dirancang itu dapat dilaksanakan dengan baiknya, sudah pasti azam dan harapan itu tercapai, yang akan menggembirakan perencananya. Jika tidak, azam tinggal azam, harapan tinggal harapan; yang ada hanyalah 1001 persoalan tentang ketidakjayaan tersebut. Tahun 2011 menyaksikan kembalinya bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, terutama di sekolah rendah dan sekolah menengah, setelah lapan tahun “berehat”. Tentulah azam warganegara Malaysia – mudah-mudahan semua orang berazam begitu – adalah untuk menjadikan bahasa tersebut bahasa utama negara ini, termasuk sebagai bahasa pengantar pendidikan negara secara menyeluruh. Pastinya harapan mereka – hendaknya semua orang mempunyai harapan tersebut – adalah untuk melihat bahasa kebangsaan terus gah menghadapi cabaran dan dugaan yang mendatang, bak air sungai yang mengalir deras tanpa henti dari hulu ke hilir. Azam Pelita Bahasa? Pastinya untuk terus melangkah ke hadapan – sekali-sekala menoleh ke belakang untuk melihat sejarah dan mempelajari sesuatu daripadanya – sebagai majalah pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu yang unggul dan berwibawa di negara ini. Pelita Bahasa akan terus menyajikan “hidangan” yang dapat membuka “selera” minda pembaca berdasarkan “resipi” yang “lazat” bagi membantu mereka menyempurnakan penguasaan bahasa kebangsaan mereka. Hal tersebut amat penting bagi menyebarluaskan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul, di samping mengurangkan – jika tidak dapat membasmi – kemiskinan ilmu dalam kalangan masyarakat negara ini. Bahasa Melayu dan Pelita Bahasa relevan pada setiap masa – dahulu, kini dan selama-lamanya. Selamat menyambut tahun baharu Masihi 2011.
Armin Azhari Saleh
Sari Bahasa
Sinar Baharu Bahasa Kebangsaan
Oleh TEO KOK SEONG
Bahasa kebangsaan memperoleh sinar baharu apabila kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Dalam konteks yang lebih luas, bahasa tersebut juga mempunyai kaitan dengan budaya orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Pengajaran dan pemelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sesungguhnya merupakan dasar bahasa dalam pendidikan, yang merupakan subset Dasar Bahasa Negara. Apa-apa pun dasar, baik bahasa mahupun yang lain, merupakan perkara yang amat kompleks sifatnya. Hal itu dikatakan demikian kerana, antaranya, selain merupakan pelan tindakan, sesuatu dasar juga berupa satu set prinsip yang difikirkan unggul, baik dan lain-lain yang seumpamanya oleh pihak yang menggubalnya. Sehubungan dengan itu, sering kali kepercayaan dan ideologi yang dikaitkan dengan penggubalan sesuatu dasar itu tidak dapat diterima oleh pihak yang dikenakan dasar berkenaan dan/atau gagal dilaksanakan dengan baiknya oleh pihak yang menggubalnya. Dalam kes PPSMI, hakikat dasar tersebut, khususnya yang berkenaan dengan keberkesanannya, ialah ribuan maklum balas dan tindakan negatif daripada pelbagai pihak. Antara pihak tersebut termasuklah pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat umum. Oleh hal yang demikian, dasar PPSMI dimansuhkan setelah diteliti dari pelbagai sudut. Antara sudut tersebut termasuklah aspirasi nasional yang tidak boleh tercapai jika dasar itu diteruskan dan gerakan rakyat dalam bentuk penentangan. Oleh itu, mulai tahun 2011, pengajaran dan pemelajaran Sains dan Matematik dikembalikan kepada keadaan asal, iaitu dikendalikan dalam bahasa Melayu dan bahasa etnik yang lain, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
|