|
NotaEditor
Tangan “Ajaib” Orang Melayu
Oleh: Aninah Janang
Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Profesor Datuk Zainal Abidin Borhan dalam kertas kerjanya yang bertajuk Memantapkan Peradaban Melayu, yang dibentangkan dalam Seminar Peradaban Melayu, pada 24 November 2009 menjelaskan bahawa segala hasil kerja pertukangan sama ada keris, tenunan kain, ukiran kayu, pembinaan bangunan (rumah, masjid dan istana), alat pengangkutan air (kapal, jong dan bahtera), ilmu alam, sistem ukuran, timbangan, sistem pertanian, dan kelautan adalah karya serta hasil kerja yang melengkapi pembinaan peradaban Melayu. Hasil kerja tangan orang Melayu mendapat perhatian sekitar abad ke-18. Bangsa asing yang menjajah bumi Melayu ketika itu dalam “diam-diam” mengagumi kehebatan seni bina orang Melayu. Sekitar dekad 1960-an, orang Perancis, Britan, Australia, New Zealand, Amerika dan Jerman memilih Pulau Duyong, Kuala Terengganu, untuk membina kapal impian mereka. Ketika itu, pinis dan bedar yang merupakan perahu besar menjadi alat pengangkutan perdagangan yang utama di Terengganu. Hasil kerja tangan “ajaib” orang Melayu, maka terbinalah bedar yang berupaya mengelilingi dunia, antaranya Setia, Dapat, Boleh, Cinta Jaya, Burong Bhari, Naga Pelangi dan 1001 Nights. Sementara itu, antara kapal jenis pinis yang dibina ialah Sabar, Jun Bathera dan Naga Pelangi II. Kesemua kapal ini menggunakan ilmu pembinaan kapal tradisional orang Melayu yang sukar “difahami” oleh bangsa asing. Keajaiban Pulau Duyong itu terletak pada kehalusan seni bina yang tidak ternilai harganya. Tidak terjangkau dek akal fikiran, bagaimana bedar Setia yang dibina oleh tukang kapal di Pulau Duyong, Che Ali Ngah sekitar abad ke-19 hanya berpandukan pelan yang dilorek di permukaan pasir. Rata-rata mereka tidak tahu membaca dan mengira, tetapi mereka umpama nakhoda yang mengetahui selok-belok kapal sebelum dan selepas dibina. Buktinya, bedar Setia dengan gahnya membelah lautan dan mengelilingi dunia dengan jayanya. Ketika itu, pembuat kapal di Pulau Duyong tidak memiliki ilmu teknologi yang moden dalam menghasilkan kapal layar yang hebat apatah lagi penggunaan peralatan moden. Semuanya menggunakan peralatan tradisional dan tulang empat kerat. Istimewanya, kapal Melayu dipasang dengan layar berbentuk empat segi di bahagian hadapan dan buritan. Layar ini dicondongkan ke bawah dan boleh dipusing ke kiri dan kanan. Layar istimewa ini membolehkan kapal Melayu meredah dan menentang badai dengan mudah. Hari ini, kehebatan itu diteruskan oleh generasi kedua dan ketiga di Pulau Duyong. Meskipun jumlah pembuat kapal tradisional semakin berkurangan, Pulau Duyong masih “hidup” dengan seni bina orang Melayu yang diiktiraf di dunia. Menurut seorang pelayar Jerman yang terkenal, Christoph Swoboda, tiada kapal layar di dunia ini yang mampu bertahan selama 100 tahun, kecuali kapal layar yang dihasilkan oleh tangan dan keringat orang Melayu di Pulau Duyong.
Aninah Janang
Fokus
Kapal Melayu Membelah Samudera
Oleh: Aninah Janang
Di bawah pohon kelapa yang hidup subur di pulau kecil, di muara Sungai Terengganu, Kuala Terengganu, beberapa orang tukang yang mencari sesuap nasi dengan membaiki bot nelayan, menanti dengan penuh harapan agar ada pemilik bot yang rosak datang meminta bot mereka dibaiki. Tanyalah apa-apa sahaja tentang bot, mereka pakar. Kemahiran mereka memperbaiki bot sungguh luar biasa. Mereka boleh membaca lekuk, lurah, paluh, dan ceruk kayu bot hanya dengan sekelip mata. Bukan hanya memperbaik bot, mereka juga hebat dalam kerja membina bot. Mereka tidak merujuk mana-mana buku ketika membaiki dan membina bot; mereka hanya menggunakan akal dan kemahiran yang diwarisi sejak turun-temurun. Kehebatan membaiki dan membina bot yang mereka miliki mengalahkan jurutera kapal. Ketika membina bot, mereka tidak memerlukan pelan yang dilakar pada kertas yang memaparkan saiz, ukiran dan bentuk bot yang tertentu. Memadai hanya dengan melorek di permukaan pasir. Sudah menjadi kebiasaan apabila melakukan perbincangan atau perancangan untuk membina bot, mereka hanya melorek di atas tanah atau pasir dan imej tersebut divisualkan dan kekal dalam ingatan mereka sehingga bot tersebut siap dibina. Kehebatan inilah yang membawa kepada pembinaan bot dan perahu layar yang digunakan pelayar dari Barat untuk mengelilingi dunia! Sejak berabad lamanya tukang di sini membina perahu yang berupaya meredah samudera. Perahu yang dibina merupakan jenis perahu layar skuner yang merupakan perahu layar yang mempunyai dua tiang. Kehebatan tukang perahu di Pulau Duyong membina skuner menjadi legenda yang melampaui perbatasan tamadun Melayu. Terdapat dua jenis skuner orang Melayu yang terkenal di Pulau Duyong, iaitu pinis dan bedar. Leluhur orang Melayu yang menghuni pulau di seluruh Asia Tenggara telah mengembara jauh ke Timur sehingga ke kepulauan Polinesia dan belayar ke sebelah Barat sehingga ke Pulau Madagascar dan pantai barat Afrika. |