|
BICARA BAHASA
Bahasa Iklan, Bahasa Kreatif
Di mana-mana pun kita berada, baik di bandar mahupun di luar bandar, kita dapat melihat iklan. Iklan ini pula, ada pelbagai bentuk dan cara pemaparannya. Ada iklan yang dipaparkan secara terbuka di tempat awam, dan ada juga yang dipaparkan dalam akhbar dan majalah. Selain itu, ada juga iklan yang disiarkan dalam media elektronik, seperti televisyen dan radio. Dari segi fungsinya pula, iklan digunakan untuk pelbagai tujuan, seperti untuk memperkenalkan dan mempromosi sesuatu produk dan perkhidmatan, serta menyampaikan pelbagai maklumat. Selain menggunakan pelbagai visual untuk menarik perhatian khalayak, unsur penting dalam sesebuah iklan ialah bahasa. Bahasa yang digunakan dalam iklan, tidak sama dengan bahasa yang digunakan dalam penulisan laporan, berita ataupun artikel, kerana bahasa tersebut ada laras atau gayanya yang tersendiri. Bahasa iklan dapat juga dianggap sebagai salah satu bentuk bahasa yang kreatif kerana menggunakan gaya bahasa yang menarik. Penggunaan bahasa yang menarik dalam sesebuah iklan sangat penting untuk menarik perhatian khalayak yang mendengar atau melihat dan membacanya. Kejayaan dalam menarik perhatian khalayak terhadap sesuatu iklan itulah yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu iklan dalam memperkenalkan atau mempromosikan sesuatu produk atau perkhidmatan kepada khalayak. Walaupun bahasa yang digunakan dalam sesuatu iklan itu ringkas sahaja, terutamanya iklan yang dipaparkan pada papan iklan, bahasa tersebut mendukung maksud khusus yang berkaitan dengan keistimewaan atau kekuatan sesuatu produk yang diiklankan.
Selamat tahun baharu 2011.
Zaidi Ismail
AGENDA BAHASA
Laras Bahasa Iklan Oleh Choo Hung Fei
Setiap jenis penulisan ada laras bahasanya yang tersendiri. Yang dimaksudkan dengan laras pula ialah cara atau gaya penggunaan bahasa dalam penulisan. Ada dua faktor yang menentukan gaya pelahiran bahasa seseorang, ialah situasi bahasa itu digunakan dan bidang yang dibicarakan. Dalam amalan berbahasa, seseorang penutur bahasa sering memilih variasi bahasa yang sesuai dengan situasi tertentu. Suasana yang formal menghendaki pengguna bahasa menggunakan bahasa rasmi, manakala suasana yang tidak formal pula membolehkan pengguna menggunakan bahasa yang bersahaja atau tidak rasmi. Pengguna bahasa yang rasional sudah pasti akan menggunakan bahasa mengikut bidang. Contohnya, dalam bidang ekonomi, seseorang pengguna bahasa pasti menggunakan perkataan atau ungkapan seperti inflasi, deflasi, permintaan, penawaran, pasaran, kadar faedah, dan kadar pertukaran wang asing. Kesemua kosa kata itu merupakan “kata kunci” bagi bidang ekonomi. Oleh itu, terdapat pengkhususan perkataan atau ungkapan dalam sesuatu bidang untuk memudahkan pembaca atau pendengar memahami sesuatu isu atau perkara yang diperkatakan oleh seseorang penulis atau penutur. Proses ini dikatakan memudahkan pembaca atau pendengar kerana mereka dapat “mengesan” kosa kata yang digunakan oleh penulis atau penutur. Dalam bidang pengiklanan, misalnya, pengguna atau pencipta iklan tersebut cenderung untuk memilih kata adjektif, seperti cantik, sihat, tampan, tertawan, terpukau, dan terhebat. Contoh ungkapan yang menggunakan perkataan tersebut adalah seperti yang berikut: • Gadis itu sangat cantik apabila menggunakan produk pemutih muka jenama X. • Anaknya sentiasa sihat selepas mengambil susu tepung Y. • Wajah nampak tampan apabila menggunakan krim rambut R. • Aku tertawan melihat rambutnya. • Terpukau sementara melihat wajahnya
|