|
Nota Editor
Euforia Kita dalam Senyuman Mona Lisa
RENCANA fokus bulan ini memperkatakan satu aliran seni unik, abstrak ekspresionisme, tulisan Dr. Mohd. Johari Ab. Hamid. Abstrak ekspresionisme merupakan karya yang dihasilkan daripada emosi yang diluahkan secara spontan dan bebas oleh pelukis. Di Malaysia, Syed Ahmad Jamal antara pelukis yang mempelopori aliran ini. Di samping itu, mengiringi rencana tersebut adalah sebuah rencana tentang seni tampak yang ditulis oleh Mohamed Noor Othman. Baru-baru ini, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata pada satu sidang akhbar, kementeriannya sedang berusaha membawa lukisan Mona Lisa dan lukisan lain untuk dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara (BSLN) pada tahun ini. Senyuman Mona Lisa dikatakan paling manis dan menawan. Potret wanita yang dilukis antara tahun 1503 -1506 itu terkenal di seluruh dunia. Banyak orang teruja untuk menatap senyuman itu dengan mata sendiri. Namun, tidak semua orang dapat melihat karya asal Leonardo da Vinci itu yang kini berada di Muzium Louvre, Paris. Usaha untuk mempamerkan lukisan-lukisan tersebut di BSLN bertujuan untuk menarik minat masyarakat tempatan dan pelancong luar negara menyertai pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan termasuk melawat pameran koleksi lukisan antarabangsa dan karya seni lukis tempatan. Tentulah tidak dapat dipastikan sama ada Mona Lisa dan karya pelukis luar nanti akan menjadi umpan yang dapat memancing peminat seni melawat BSLN. Andainya benar hal ini berlaku, maka sikap masyarakat yang suka mengagungkan karya luar daripada karya seni tempatan perlu diubah. Bernilai sangatkah karya luar, khasnya lukisan, berbanding dengan karya tempatan sehinggakan apabila ada karya dari luar negara barulah tergerak sanubari untuk melawat galeri seni? Terdapat karya artis kita, sama ada karya realisme, surealisme, atau abstrak ekspresionisme, dibeli oleh pelancong asing dengan harga puluhan ribu ringgit. Ada juga karya yang dijual kepada pelancong luar dengan harga ratusan ribu ringgit. Jika demikian nilai harganya, masih tidak bermutukah karya tersebut, sekalipun tidak dapat menandingi karya Leonardo da Vinci yang sangat dimegahkan itu? Bukan ekstrem atau menidakkan kualiti karya Barat, tetapi kita berwenang, justeru perlu bersikap etnosentrik jika mahu karya kita diterima dan dihayati oleh orang luar. Tidak salah kita menerima dan mengagumi keindahan seni ciptaan Barat, tetapi bayangkanlah euforia kita jika karya seni sendiri gah di persada antarabangsa. BSLN juga mendapat peruntukan melebihi RM20 juta untuk membina bangunan tambahan bagi menyediakan lebih banyak ruang kepada pelukis jalanan di negara ini mempamerkan hasil karya seni mereka. Bangunan tambahan yang dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan itu adalah antara usaha kementerian untuk memberi sokongan kepada pelukis yang kurang mampu dari aspek fizikal dan kewangan. Dalam masa terdekat, BSLN akan memulakan aktiviti pameran seni mingguan seperti yang dilakukan di balai seni lukis di London dan Paris. Kenyataan ini tentu sahaja menggembirakan penggiat seni, khususnya pelukis yang selama ini tidak mempunyai peluang mempamerkan hasil karya mereka akibat kekangan tempat dan kewangan. Kebanyakan pelukis tidak mampu menyewa tempat bagi mempamerkan dan menjual karya sendiri. Satu lot kedai di Pasar Seni Kuala Lumpur (tempat yang menjadi tumpuan pelancong) dikenakan sewaan ribuan ringgit, apatah lagi hendak menyewa dan mempamerkan karya di graha agam dan tinggi mencakar langit, walaupun premis berkenaan menjadi tumpuan ramai. BSLN dan balai seni lukis negeri seharusnya menjadi ruang bagi artis tempatan mengetengahkan karya mereka. Galeri seni perlu lebih mesra rakyat. Aktiviti pameran seni mingguan seperti yang dicadangkan pastinya akan membantu menyemarakkan lagi dunia seni lukis tempatan. Bulan Januari 2009 yang lalu, kita kehilangan dua orang tokoh seni yang begitu aktif dalam bidang sastera dan budaya. Selain keluarga, mereka meninggalkan kepada kita sejumlah karya yang akan kekal untuk kita hayati. Sidang editor DB merakamkan takziah kepada keluarga Sasterawan Negara Allahyarham Arenawati (Muhammad Dahlan Abdul Biang) dan keluarga Allahyarham Samoza (Sabri Mohd. Zin). Doa kita pohon agar roh mereka dicucuri rahmat dan hidayah-Nya. Amin.
Adnan Abd. Jamil
Fokus
Abstrak Ekspresionisme dalam Karya Seni
MOHD JOHARI AB HAMID
KARYA seni visual tempatan sering mengalami perubahan demi perubahan sejak 1930-an lagi hingga kini. Perubahan yang berlaku bukan sahaja dari aspek penggunaan media dan teknik, malah turut berlaku pada pengaruh aliran moden. Pengaruh aliran moden dalam seni visual tempatan bukan asing kepada pelukis tempatan. Merujuk pada karya seni sejak 1930-an, kita berpeluang menghayati karya seni seperti lukisan Abdullah Ariff, Yong Mun Sen, Suo Juping, Khaw Sia dan Tay Hooi Keat. Pelukis terkemudian ialah Hossein Enas, Syed Ahmad Jamal, Redza Piyadasa, Ibrahim Hussein dan ramai lagi. Manakala pelukis generasi hari ini ialah Abdul Latiff Mohidin, Yeoh Jin Leng, Cheong Lai Tong, Sulaiman Esa dan lain-lain. Antara aliran moden yang mempengaruhi pelukis ialah abstrak meekspresionisme, impresionisme, pascameimpresionisme, surealisme, realistik dan sebagainya. Pengaruh aliran moden dalam karya seni tempatan terus berkembang dari semasa ke semasa. Setiap pelukis mengalami pengaruh tersebut berdasarkan pada kemampuan sendiri. Contoh yang paling jelas ialah aliran abstrak ekspresionisme yang bermula pada 1940 di Amerika Syarikat turut melanda di negara kita. Kemunculan aliran ini disebabkan oleh penghijrahan beramai-ramai pelukis Eropah ke Amerika Syarikat. Hal ini akibat daripada kesengsaraan dan kemusnahan yang wujud selepas Peperangan Dunia Kedua. Selepas itu pusat seni Barat bertukar dari Eropah ke New York, Amerika Syarikat. Abstrak ekspresionisme juga dipanggil sebagai “New York School”. Aliran tersebut diberi oleh Alfred Barr menerusi kenyataannya dalam sebuah pamerah di Museum of Modern Art, New York pada 1929. Antara ahli kumpulan pertama aliran abstrak ekspresionisme ialah pelukis Eropah seperti Albers, Hofmann dan Mondrian. Selain itu ialah Arshile Gorky (1905–1948) dari Sepanyol dan Willem de Kooning (1904-1997) dari Belanda. Perkembangan ini turut mengukuhkan kedudukannya di Amerika Syarikat apabila Jackson Pollock (1912-1956), Franz Kline (1910-1962) dan Helen Frankenthaler telah menubuhkan kumpulan Abstrak Ekspresionis. Abstrak ekspresionisme merupakan satu aliran seni yang unik. Ia merupakan aliran seni abstrak neo-geometrik. Karya abstrak ekspresionisme boleh dianggap sebagai karya seni catatan untuk bukan figuratif. Menolak penghasilan karya secara formal dianggap sebagai anti formal. Pelukis berkarya tanpa perancangan rapi seperti mana karya seni realistik. Kaedah yang digunakan ialah teknik bebas dan dinamik. Karya seni dihasilkan daripada ekspresif diri yang sangat kuat. Sementara penggunaan bahan atau media agak kasar, tebal dan berjalinan. Hal ini melibatkan nilai-nilai agresif, spontan dan bebas meluahkan pernyataan diri. Kebanyakan karya seni tersebut bersifat individu yang terhasil daripada perluahan perasaan terhadap sesuatu dilema dalam diri. Mungkin ia berlaku akibat ketidakpuasan diri terhadap peristiwa yang berlaku. Contoh kesan psikologi penderitaan akibat kekejaman tentera Zionis yang berlaku di Gaza, Palestine baru-baru ini. Penulis yakin banyak penulis kita mengambil kesempatan itu untuk meluahkan rasa hati mereka di dada kanvas. |