Hubungi Kami | Maklum Balas| Soalan Lazim | Peta Laman | Bantuan | Mobil web | Intranet                                        Reset Latar Belakang Tukar Latar Belakang Tukar Latar Belakang Tukar Latar Belakang Font Kecil Font Pertengahan Font Besar Font Hitam Font Merah Font Biru Font Hijau Font Kuning Capaian Kurang Upaya (OKU) / Disability Access

Menjadi Peneraju Utama Pengembangan Bahasa dan Persuratan Melayu dalam Pembinaan Negara Bangsa                       | Melayu | English

  Selamat Datang Pelawat  

  Selasa, 2hb September 2014  

 

ABDULLAH HUSSAIN
(Abdullah bin Hussain, Haji, Dato’,  Sasterawan Negara, Asly, Bintang Kecil, Iskandar Muda,  Roslani Ashikin, Surykanta, Zamroed)

LAHIR : 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman.

PENULIS yang cukup prolifik lagi konsisten ini, mempunyai pengalaman yang luas.  Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan beliau adalah salah seorang penulis Malaysia yang kaya dengan pelbagai pengalaman yang menarik hati.  Pengalamannya yang luas serta penguasaannya dalam beberapa bahasa merupakan faktor-faktor yang membantu beliau dalam lapangan karang-mengarang.  Hasilnya, kita temui pelbagai tema dengan latar belakang yang berbeza-beza pula dalam karya-karyanya.

Pengetahuannya dalam bidang bahasa dapat diukur daripada buku-buku bahasa dan peribahasa, serta terjemahan karya-karya sastera luar negeri yang telah diusahakannya.  Di samping itu, Abdullah juga seorang penulis biografi yang teliti, juga pernah menghasilkan puisi, ulasan sastera dan rencana umum.  Namun, sumbangannya yang cukup bererti dalam kesusasteraan Melayu adalah dalam bidang cerpen dan novel.

Pada tahun 1926, Abdullah mula belajar di Sekolah Melayu Sungai Limau dan lulus darjah V dalam tahun 1931.  Kemudian, Abdullah memohon untuk menjadi guru pelatih tetapi permohonannya ditolak.  Dari tahun 1932 hingga tahun 1933, Abdullah belajar pula di Sekolah St. Michael, Alor Setar hingga lulus darjah VII dalam tahun 1935.  Sesudah itu, beliau mula mencari pekerjaan.  Semasa tentera Jepun menduduki Tanah Melayu dan Singapura, Abdullah sempat belajar di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan Pegawai-pegawai Tinggi) di Singapura selama tiga bulan dalam tahun 1943 sebagai calon dari Aceh.

Pekerjaan awalnya ialah penolong penjaga stor dalam sebuah perusahaan lombong bijih di Pahang dalam tahun 1939.  Pada akhir tahun itu, beliau berhijrah ke Pulau Pinang dan bekerja di surat khabar Sahabat.  Semasa di Pulau Pinang inilah, Abdullah mendapat dorongan menulis daripada pengarang akhbar tersebut iaitu Ahmad Noor Abdul Shukoor.  Di samping itu, Abdullah giat dalam Perkumpulan Sahabat yang kerap mengadakan pertemuan sesama penulis di utara Semenanjung.  Kebolehan awalnya dalam bidang penulisan telah terbukti, apabila cerita bersirinya berjudul “Binti Penghulu” diterbitkan dalam akhbar Sahabat, disusuli cerita “Harta dan Jodoh Menanti di England” sebanyak 38 siri.  Abdullah tidak menerima apa-apa bayaran daripada karya tersebut.

Pada tahun 1940, Abdullah bertugas pula sebagai pembantu pengarang Saudara di Pulau Pinang.  Beliau bertugas di situ hingga awal tahun 1941 apabila Saudara ditutup.  Dalam tahun itu juga, telah terbit dua buah noveletnya iaitu Kasih Isteri dan Dia ... Kekasihku. Beliau kemudiannya bertugas di Kem Tentera Inggeris di Sungai Petani, Kedah sebagai kerani hinggalah kedatangan tentera Jepun yang mendesak beliau kembali ke kampung halamannya.

Sebulan sesudah tentera Jepun menduduki Kedah, Abdullah dibawa oleh pasukan Fujiwara Kikan ke Kuala Lumpur dan kemudian dikirim ke Sumatera sebagai fifth columnist (semacam perisik utama sebelum sesuatu tindakan diambil).  Malangnya, sebaik sahaja mendarat di Sumatera, Abdullah telah ditangkap oleh pemerintah kolonial Belanda lalu ditahan di Medan.

Apabila Jepun mendarat di Sumatera, Abdullah segera dibebaskan lalu dibawa ke Aceh dan diberi tugas di Gunseikanbu. Abdullah kemudiannya dihantar ke Singapura untuk menjalani kursus pentadbiran di Syonan Koa Kunrenzo selama tiga bulan.  Sekembalinya ke Aceh, beliau dilantik menjadi kerani Gunseibu di Langsa.  Tugas ini merapatkan beliau dengan Aceh, tempat asal orang tuanya.  Semasa di Banda, Aceh, beliau ikut mendirikan surat khabar Acheh Shimbun dan menjadi koresponden beberapa akhbar termasuk Sumatera Shimbun. Abdullah menyertai beberapa sayembara mengarang roman sejarah dengan karya berjudul “Darah Pembalasan”.  Beliau pernah mendapat tempat kedua dalam sayembara mengarang cerpen di Aceh dengan cerpennya berjudul “Manusia Baru” dalam tahun 1943.

Setelah Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua, Abdullah dilantik menjadi Kepala Polisi (Polis) Daerah Langsa dan ikut mengumumkan proklamasi kemerdekaan Indonesia.  Tidak lama sesudah  itu, beliau dilantik pula sebagai Wedana Daerah Langsa.  Kedatangan semula tentera Belanda ke Indonesia sesudah berundurnya tentera Jepun, menjadikan Indonesia bergolak dan Abdullah turut terlibat dalam perjuangan kemerdekaan itu.

Pada tahun 1947, beliau kembali bertugas di dalam kepolisian sebagai Kepala Polis Pulau Sabang, di samping menjadi wakil Kepala Bahagian Penelitian Aliran Masyarakat, yakni semacam bahagian cawangan khas di Jabatan Polis.

Pada tahun 1948, Abdullah berangkat ke Pulau Pinang sebagai agen pemerintah daerah Aceh dan bekerja sebagai Pengurus Cardoba Trading Co., iaitu sebuah syarikat import dan eksport.  Kemudian, beliau bertugas pula sebagai Pengurus Pacific Trading Co., di Phuket, Thailand hingga tahun 1949 sebagai agen menyeludup senjata ke Indonesia bagi keperluan perjuangan kemerdekaan Indonesia.

Pada tahun 1950,  Abdullah kembali semula ke Sumatera dan menjadi pengarang majalah Puspa di Medan.  Beliau telah memenangi hadiah pertama peraduan mengarang cerpen sempena perayaan Hari Buruh di Medan dengan karyanya yang berjudul “Kario Buruh Kebun”.

Pada tahun 1951, beliau meninggalkan Medan menuju ke Singapura dan menjadi kerani di Syarikat Perkapalan Acheh Trading and Shipping Company yang berpangkalan di sana.  Dalam tahun-tahun berikutnya, Abdullah lebih banyak menumpukan masanya dalam bidang penerbitan dan penulisan.  Beliau menjadi koresponden surat khabar Merdeka, Berita Indonesia dan majalah mingguan Merdeka (terbit di Jakarta), menjadi Pengurus Empiric Film Company, Pengarang Majalah Bintang, Majalah Filem, Akhbar Semenanjung dan Pengurus firma import dan eksport Hasbur Trading Company.  Kemudian beliau menjadi Pengurus Penerbitan P. Ramlee dan diterbitkan oleh Malay Film Production di Singapura.

Dalam kesibukan menyelenggara majalah dan perniagaan, Abdullah masih sempat ke luar negeri.  Dalam tahun 1957, beliau ke Saigon sebagai wakil Darul Islam menemui Presiden Ngo Dhien Dhiem, Presiden Negara Vietnam dan ke Manila.  Beliau pernah tinggal di Hong Kong untuk beberapa bulan.

Mulai 1 Januari 1961, Abdullah pindah dan bekerja di Kuala Lumpur.  Beliau bertugas di Oxford University Press sebagai pembantu pengarang kanan hingga 31  Disember 1964.  Sewaktu bertugas di penerbitan itulah, Abdullah telah menterjemahkan beberapa karya sastera dunia.

Dari tahun 1965 hingga bulan Februari 1968, beliau menjawat tugas yang sama di Franklin Books Programme di samping menjadi editor majalah Angkatan Baru. Mulai 1 Mac 1968, Abdullah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, mula-mula sebagai Penolong Pengarang, kemudian Pengarang dari mulai tahun 1972, menjadi Pegawai Penyelidik di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera.  Di samping menjadi editor majalah-majalah Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Dewan Sastera, beliau juga menjadi editor dan penerbit majalah Penulis, lidah rasmi Persatuan Penulis Nasional (PENA).  Sewaktu di bahagian inilah, Abdullah Hussain banyak sekali membuat sorotan cerpen yang bersifat membimbing bakat-bakat baru seperti yang tersiar dalam Dewan Sastera 1972 dan 1973.  Kemudian Abdullah bertugas sebagai Ketua Unit Bahasa dan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah di Kota Kinabalu dan bertanggungjawab memimpin majalah Dewan Perintis edisi Sabah sejak Mei 1978 hingga September 1979.  Mulai Oktober 1979, Abdullah menjadi Ahli Cipta di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.  Mulai 1 Julai 1982 pula, beliau mendapat tawaran bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei, sebagai Pegawai Bahasa Kanan dan mengetuai Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera di samping menjadi ketua editor majalah Bahana dan Mekar.  Abdullah pernah menjadi karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1993-1994, dan tahun 1995-1996.

Tulisan Abdullah yang pertama berupa sebuah cerita lucu yang tersiar dalam majalah Tanah Melayu pada tahun 1939.  Setelah Hampir 40 tahun menulis, sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu masih terus mengalir seolah-olah beliau tidak pernah kekeringan ilham dan tenaga.  Beliau menulis dalam semua genre.  Menjawab pertanyaan, mengapa dalam sebilangan besar novel-novel beliau mengikutsertakan watak-watak pelbagai bangsa, beliau menyatakan bahawa, penduduk negara ini terdiri daripada berbagai-bagai suku kaum di samping bangsa Melayu yang menjadi peribuminya, maka perpaduan bangsa hanya dapat dicapai melalui penggunaan satu bahasa yang sama dan bahasa Melayu yang baik.

Pada peringkat awal sebagai penulis, Abdullah sedikit sebanyak telah dipengaruhi oleh pembacaan karya-karya sastera dari Indonesia dan Rusia.  Bacaannya yang luas terhadap karya-karya dari negara tersebut turut memberikannya pengalaman untuk menterjemah karya-karya besar sastera dunia.  Satu hal yang menarik ialah pengakuan Abdullah sendiri yang mengatakan bahawa beberapa buah novelnya yang tebal-tebal itu adalah akibat daripada pengaruh novel-novel tebal yang ditulis oleh pengarang-pengarang Rusia.

Novel-novelnya iaitu Terjebak, Peristiwa dan Aku Tidak Minta merupakan rakaman pengalaman-pengalaman berunsur seram, tragis, dan lucu sewaktu Abdullah di Indonesia dan di Thailand.  Ketiga-tiga novel tersebut, di samping Rantau Selamat dan Interlok adalah sumbangannya yang bermakna dalam bidang penulisan novel sehingga kini.  Sementara bukunya yang menyangkut bidang bahasa iaitu Kamus Istimewa Peribahasa Melayu dianggap sebagai salah satu kamus peribahasa yang terbaik setakat ini.

Usaha gigih Abdullah menterjemah beberapa buah karya sastera dunia dapat kita hayati melalui novel Angin Timur Angin Barat dan Bumi Bertuah (Pearl S. Buck), Muatiara (Steinbeck), Orang Tua dengan laut (Hemingway) dan Lorong Midaq oleh Naguib Mahfouz.  Dalam bidang biografi, Abdullah telah menghasilkan biografi tentang P. Ramlee dan Za’ba, masing-masing adalah seniman dan ahli bahasa Melayu yang terulung.  Abdullah juga menulis biografi Tun Datu Haji Mustapha, pemimpin politik dari Sabah dan seterusnya ialah biografi tentang tokoh sastera, Harun Aminurrashid.

Sebagai penulis yang kaya dengan pengalaman, Abdullah Hussain telah berjaya merakamkan pengalaman beliau yang pelbagai dan menarik itu ke dalam cerpen dan novel-novel karya beliau.  Hasil kesungguhan dan kegigihan beliau berkarya, maka novel terbaru beliau iaitu Imam telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1994/95, dan sebelum itu novel yang sama telah berjaya menggondol hadiah “Hadiah Novel Nasional” (mengingati Pak Sako), 1992/94, yang dianjurkan bersama oleh Syarikat Utusan Melayu dan Public Bank Berhad.  Dan puncak dari segala-galanya itu ialah, apabila Abdullah Hussain dinobatkan sebagai Sastera Negara yang kelapan dalam tahun  1996.  Sebelum itu iaitu dalam tahun 1981, Abdullah Hussain telah terpilih menerima anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok.

Selain mendapat pengiktirafan tertinggi dalam bidang penulisan kreatif, Abdullah Hussain juga telah dianugerahi Pingat Jawa Hukom Ngon Adat Lembaga Kebudayaan Aceh (LAKA) 1995, dan bersempena hari ulang tahun keputeraan Sultan Kedah, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran “Dato” dalam tahun 1995.

KARYA
Novel
- Dia... Kekasihku, Johor Baru: The Annies Printing Works, 1941, 64 hlm
- Kasih Isteri, Johor Bahry: The Annies Printing Works, 1941, 112 hlm
- Amin Pemuda Desa, Pulau Pinang:  Penerbitan Angkatan Baru, 1947, 77 hlm
- Berenang di Lautan Madu, Singapura: Geliga Limited, 1957, 96 hlm
- Kalau Tidak Kerana Tuan, Singapura: Geliga Limited, 1957, 75 hlm
- Janganlah Jangan, Kuala Lumpur:  Penerbitan Angkatan Baru, 1964, 135 hlm
- Si Bulat Pemuda Desa, diterbitkan melalui majalah cerita bulanan, Terang Bulan, Oktober 1964, Bil. 1, 37 hlm
- Terjebak, Kuala Lumpur:  Penerbitan Pustaka Antara, 1964, 380 hlm
- Peristiwa, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1965, 273 hlm
- Rantau Selamat, Kuala Lumpur: Pustaka Nasional, 1965, 508 hlm
- Interlok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, 341 hlm
- Intan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 112 hlm
- Noni, Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1976, 133 hlm
- Buih di atas Air, Kuala Lumpur:  Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1980, 201 hlm
- Masuk ke dalam Cahaya, Kuala Terengganu: 1983, 306 hlm, dicetak semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, (Edisi Khas Sasterawan Negara), 1997, 323 hlm
- Imam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 1995, 705 hlm
- Cerpen : Hadiah (Peny. Bersama A. Bakar Hamid), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 329 hlm
- Jejak Langkah (Peny. Bersama Ismail Ahmad), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975, 285 hlm
- Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1977, 446 hlm
- Kota ke Kota, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1977, 194 hlm
- Sebuah Impian (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Pena Sdn. Bhd., 1979, 235 hlm
- Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm
- Bunga Gunung (antologi bersama), Kuala Lumpur:  Berita Publishing Sdn. Bhd., 1982, 153 hlm
- Sebuah Pekan Bernama Semporna, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 303 hlm
- Menunggu Ratu Adil  (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1984, 218 hlm
- Dongeng Merdeka (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 339 hlm
- Dari Kota Cahaya (Edisi Khas  Sasterawan Negara), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 681 hlm
Drama
- Di Atas Pentas (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 209 hlm
Esei/Kritikan
- Penulisan Cerpen: Kaedah dan Pengalaman, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 64 hlm
Autobiografi
- Sebuah Perjalanan, Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka, 1984, 547 hlm
Biografi
- P. Ramlee Seniman Agung, Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1973, 216 hlm
- Pendeta Za’ba dalam Kenangan (bersama Khalid Hussain), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,  1974, 318 hlm
- Harun Aminurrashid: Pembentuk Semangat Kebangsaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 412 hlm.
Terjemahan
- Orang Tua dengan Laut/Ernest Hemingway, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1961, 127 hlm
- Bumi Bertuah/Pearl S. Buck, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1962, 409 hlm
- Mutiara/Johan Steinbeck, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1962, 122 hlm
- Angin Timur Angin Barat/Pearl S. Buck, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1964, 229 hlm
- Lorong Midaq/Naguib Mahfouz, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 443 hlm
Umum
- Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1965, 207 hlm
- Kamus Simpulan Bahasa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1966, 464 hlm
- Balabatu dan Lain-lain, Kata-kata Sebunyi, Singapura: Harmy Press, 1959, 172 hlm
- Bunga Bahasa, Singapura: Malay Publishing House Ltd., 1961, 318 hlm
- Pertemuan Sasterawan Nusantara IV (Peny. Bersama Mohd. Shahri Hussin), Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 249 hlm
-

Canai Budi (kumpulan peribahasa), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 182 hlm

 

Pautan

- Dunia nelayu sedunia: Tokoh melayu

- Dewan Bahasa dan Pustaka profile: Abdullah Hussain

 

 
Dikemaskini pada 12 Jan 2011
: 4860381
 
Cetak versi format pencetak untuk halaman ini  Cetak halaman ini  E-Mel halaman ini kepada kawan  E-mel halaman Ini
  Carian Laman
  Hubungi Kami

Aduan Pelanggan

Maklumbalas

Telefon Operator
03-2147 9000

Telefon Pantas

 

Arkib Soal/Jawab

  Kategori Ruang Untuk:

Karyawan
Guru Pelajar
Swasta
Orang Awam
Pihak Berkuasa Tempatan
Warga DBP

  Statistik

Piagam Pelanggan
Bilangan Transaksi Perkhidmatan Dalam Talian

  Perkhidmatan
Perkhidmatan Dalam Talian
Perkhidmatan Kaunter
  Muat Turun Dokumen

Borang,Brosur,Buku,Poster

  Majalah
  Surat Berita

Jika anda ingin menerima surat berita kami, sila taip e-mel anda di bawah.

Batal Langganan

 Kaji Selidik

 

tahap perkhidmatan yang disediakan oleh Laman DBP?

 

Sangat Memuaskan

Memuaskan

Tidak Memuaskan

Sangat Tidak Memuaskan

 

Lihat Bancian Lepas

Jumlah Capaian
  11975664119756641197566411975664119756641197566411975664119756641197566411975664 
Hari Ini 1001
Semalam 1083
Minggu Ini 3070
Minggu Lepas 7863
Bulan Ini 2084
Bulan Lepas 36268
Semua 11975664

(Mulai Jun 2005)

Alamat:

Dewan Bahasa dan Pustaka,
Jalan Dewan Bahasa ,
50460 Kuala Lumpur.

Telefon 03-2147 9000, 9001, 9002, 9003, 9004, 9006, 9007
Faksimile: 03-2147 9619 (Umum)
03-2147 9110(Pengembangan Bahasa dan Sastera)
03-2147 9645 (Pembinaan Bahasa dan Sastera)
03-2147 9623 (Penerbitan)
  Facebook DBP  Facebook PRPM  Twitter DBP Twitter    Facebook PUSPANITA DBP  RSS DBP Suapan RSS    Mobil web DBP

Laman Rasmi Kerajaan Malaysia Multimedia Super Corridor Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia Jabatan Perkhidmatan Awam Kementerian Pelajaran Malaysia Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan
       ..                 

Dasar Privasi |Dasar Keselamatan| Notis | Hak cipta | Pasukan Web | W3C

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk kepada
Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam
Paparan terbaik Internet Explorer 8.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.


Tarikh akhir kemas kini: 02/09/2014