|
BICARA BAHASA
Lagi Lauk, Lagi Nasi
Berjuta-juta orang di dunia pada hari ini, terlibat dalam kegiatan jualan langsung. Berdasarkan perangkaan antarabangsa, World Federation of Direct Selling Associations (WFDSA), pendapatan yang diraih melalui jualan langsung daripada 52 buah negara di duni, termasuk Malaysia, dari tahun 2004 hingga tahun 2007 ialah USD104.458 bilion, dengan jumlah pengamal jualan langsung seramai 61, 736, 275 juta orang. Daripada jumlah tersebut, pendapatan yang dikutip daripada jualan langsung di Malaysia ialah USD1.4 bilion dengan jumlah pengamal jualan langsung seramai tiga juta orang. Jumlah ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa. Dewan Bahasa Jun 2007, memfokuskan “Bahasa dan Jualan Langsung”. Kami memilih fokus ini kerana terpanggil dengan hasil kaji selidik oleh WFDSA tentang sebab utama semakin banyak orang terlibat dalam kegiatan jualan langsung. Antara sebabnya ialah jualan langsung dilihat sebagai cara yang amat baik untuk berinteraksi dan bersosial. Oleh hal demikian, pengamal jualan langsung perlu bijak bersosial, berinteraksi dengan cekap dan berkesan untuk mempengaruhi orang lain supaya apa-apa yang dihasratkan tidak menjadi sebaliknya. Idea utama dalam jualan langsung ialah penekanan pada bahasa berseni dan seni berbahasa. Bahasa berseni dan seni berbahasa dalam jualan langsung ialah bahasa yang bombastik tetapi berkesan, bahasa ekstrim, bahasa retorik yang memujuk, merayu serta mempengaruhi melalui gimik dan “pembohongan” yang berupaya menakluki minda dan jiwa manusia. ***
Patah tumbuh hilang berganti. Ruang kosong yang ditinggalkan oleh Saudara Cliff Akid Kamijan dalam Sidang Editor Dewan Bahasa, kini diisi oleh Saudara Azmi Hilman Aziz, yang membantu saya menangani penerbitan Dewan Bahasa, Jun 2007 dan keluaran yang seterusnya. Saya percaya Saudara Azmi Hilman yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Pengajian Melayu) dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini, akan bersama-sama saya berjual keringat, beriltizam memperkukuh permuafakatan Sidang Editor Dewan Bahasa dan “Memperkaya Wawasan Pembaca”.
Bangsa yang Molek, Bahasa dikelek
Ritah Yahaya
AGENDA BAHASA
Gimik Bahasa dalam Jualan Langsung
Oleh: LIM KIM HUI DAN HAR WAI MUN
Definisi Jualan Langsung
Persatuan Jualan Langsung Malaysia mendefinisikan jualan langsung sebagai pemasaran produk dan perkhidmatan kepada pengguna menerusi pendekatan orang ke orang yang boleh dilakukan jauh dari lokasi peruncitan tetap. Penjual jualan langsung memulakan kontrak dengan pelanggan potensi berbanding dengan menunggu pelanggan berkunjung ke premis perniagaan. Di Malaysia, aktiviti jualan langsung dikawal oleh Akta Jualan Langsung 1993. Senarai syarikat jualan langsung boleh diperoleh daripada laman sesawang Persatuan Jualan Langsung Malaysia di http://www.dsam.org.my/list.html. Laporan Rancangan Malaysia ke-9 memberikan gambaran yang memberangsangkan bagi industri jualan langsung. Aktiviti jualan langsung mencatatkan peningkatan jualan daripada RM4.5 bilion pada tahun 2000 kepada RM5.3 bilion pada tahun 2005. Namun, penyelewengan dan penipuan seolah-olah merencatkan pertumbuhan industri tersebut. Antara tahun 2000 hingga tahun 2001, jumlah lesen jualan langsung menurun mendadak daripada 712 lesen kepada 385 lesen akibat keketatan syarat lesen dan tindakan membanteras aktiviti “skim cepat kaya”. Semenjak itu, perkembangan industri jualan langsung telah diperketat menerusi penyeliaan di bawah perundangan “Regulasi Jualan Langsung (Skim dan Kelakuan) 2001”. Hal kawalan seperti yang dinyatakan, umumnya hanya melibatkan aspek perundangan. Bagaimanakah pula dengan aspek gimik dan retorik bahasa yang mendodoikan mahupun mengugut emosi pengguna yang sering digunakan dalam memujuk mahupun memperdaya imaginasi pengguna menerusi brosur, katalog, ceramah, laman sesawang dan lain-lain? Gimik bahasa yang lazim digunakan dapat dibahagikan kepada empat kategori, yakni gimik bahasa yang merayu pada emosi tamak, bahasa yang merayu pada emosi takut, kreativiti bahasa, dan kekaburan bahasa. Dalam hal ini, gimik bahasa tersebut digunakan untuk dua tujuan, iaitu untuk menarik pengguna menjadi anggota skim jualan langsung dan memujuk pengguna membeli produk jualan ... |